PARLIMEN | Wakil rakyat pembangkang hari ini bangkit dan mempertahankan Awang Hashim (Pendang -PN) yang digantung selama 10 hari sebelum ini susulan kenyataan negatif terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul.
Membangkitkan perkara itu, Ketua Whip Pembangkang Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata tindakan yang dikenakan terhadap Awang itu jelas tidak berperlembagaan.
Berdasarkan peraturan mesyuarat parlimen, Takiyuddin berkata segala tindakan mahu pun hukuman yang boleh diambil terhadap ahli Dewan Rakyat, termasuk speaker tertakluk kepada apa yang berlaku di dalam Dewan Rakyat sahaja.
Menurutnya lagi, mana-mana ahli Dewan Rakyat tidak boleh dikenakan tindakan hanya kerana membuat kenyataan di luar, seperti dilakukan oleh Johari terhadap Awang (gambar bawah) berhubung arahan yang dikeluarkannya pada Khamis lepas.
“Itu adalah tertib di dalam dewan dan bukannya tertib di luar dewan dan sebagainya.
“Jadi, saya berpandangan keputusan yang dibuat oleh Yang Berhormat (Speaker) adalah tidak mengikut peraturan dan ianya adalah satu perkara yang bagi saya sesuatu yang ‘unconstitutional’ (tidak berperlembagaan),” katanya semasa perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.
Takiyudin turut membangkitkan beberapa perkara melibatkan ahli-ahli parlimen pembangkang sebelum ini yang diputuskan kes mereka oleh mahkamah.
“Mahkamah menyatakan mengatakan bahawa untuk prosiding dalam Dewan Rakyat, speaker betul untuk menggantung enam bulan ke, 12 bulan ke, 10 hari ke, itu kuasa dia. Benda yang berlaku di dalam Dewan Rakyat.
“Tetapi mengenai gaji, benda yang tidak ada dalam peraturan mesyuarat, samalah seperti buat satu perkara yang dikatakan menghina Speaker di luar Dewan Rakyat tidak ada dalam ni (Peraturan Mesyuarat).
“Mahkamah juga menyatakan tindakan terhadap Gobind Singh Deo (PH-Puchong) dengan memotong elaun dia adalah tidak berperlembagaan.
“Maka samalah dengan ambil tindakan halau dan gantung MP Pendang selama 10 hari kerana perkara yang dibuat diluar daripada Dewan Rakyat adalah tidak berperlembagaan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata dia kesal dengan tindakan Johari itu.
“Seperti yang semua tengok keputusan yang dibuat oleh speaker tadi adalah sebagaimana yang dibuat sebelum ini, kami ingin menunjukkan pada rakyat Malaysia, inilah rupa bentuk pengendalian parlimen oleh kerajaan yang ada hari ini.
“Speaker ini adalah speaker kerajaan bukan speaker Dewan Rakyat. Speaker yang hanya memikirkan kepentingan pihak kerajaan sahaja,” kata Takiyuddin.
Pada 5 Disember lalu, Awang Hashim (Pendang-PN) digantung 10 hari daripada menghadiri Dewan Rakyat susulan kenyataan negatif terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul menerusi aplikasi TikTok pada 18 Julai.
Johari berkata tindakan itu diambil setelah pelbagai cara yang telah dibuat bagi meminta Awang memohon maaf dan menarik balik ucapan tidak diendahkan termasuk menerusi surat yang dihantar pada 22 Julai.
“Kenyataan dan tindakan itu telah menghina Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dipilih berdasarkan Perkara 47 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan dan menjalankan tanggungjawabnya berdasarkan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Kenyataan negatif menerusi aplikasi TikTok bukan sahaja merupakan satu dakwaan yang sangat serius, tetapi telah menyalahi hak dan keistimewaan ahli parlimen dan satu penghinaan kepada Dewan yang mulia ini,” katanya ketika mempengerusikan Dewan Rakyat.
Johari berkata menerusi video TikTok itu, Awang mengeluarkan kenyataan berbunyi: “Kezaliman telah berlaku dalam parlimen dan luar parlimen, dalam Parlimen sekarang sedang dikuasai Tan Sri Speaker, melakukan kezaliman, bermula Pendang, Machang dan seterusnya kalau tidak dihalang daripada sekarang.”
Sementara itu, Johari semasa sesi soalan di Dewan Rakyat hari ini menegaskan bahawa dia kekal dengan pendirian dan keputusannya.
“Walaupun saya menulis kepada anda pada 22 Julai untuk meminta penarikan balik dan permohonan maaf, anda tidak mematuhinya sehingga hari ini.
“Saya juga telah mengarahkan setiausaha Dewan Rakyat dan ketua whip PN untuk menangani perkara ini dengan anda, tetapi tiada tindakan diambil,” katanya.
Jelas Johari dia tidak bermain politik dengan tindakannya itu.
“Sebab itu saya kata apa juga kami kata hari ini, jangan hina speaker, Johari Abdul beza, di luar dia tak hensem, ubi kayu, dia layak ke apa. Saya tak kisah kalau isu melibatkan Johari Abdul.
“Tapi, bila saya duduk di sini saya duduk sebagai speaker dan saya akan pertahan dewan. Ini sumpah saya,” tambahnya.