Malaysia benam Macau pada aksi pembukaan Kejohanan Dunia

Sukan

PETALING JAYA: Skuad wanita kebangsaan membuka kempen pada Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia dengan kemenangan 3-0 ke atas Macau dalam perlawanan Kumpulan E di Hong Kong, hari ini.

Malaysia yang diperkuatkan dengan kehadiran pemain No. 9 dunia, S. Sivasangari, bagaimanapun, bakal berdepan pencabar sebenar iaitu Perancis, esok.

Sivasangari yang diletakkan sebagai perseorangan pertama hanya mengambil masa selama 15 minit untuk membenam Gigi Yeung 11-0, 11-3, 11-9 untuk meletakkan Malaysia mendahului 1-0.

Pemain No. 31 dunia, Aira Azman yang diberi peranan sebagai perseorangan kedua turut mengikut jejak langkah Sivasangari apabila melakar kemenangan straight set 11-1, 11-3, 11-4 ke atas Leong Leong Leng Lam hanya dalam masa 14 minit.

Kakak Aira iaitu Aifa pula yang menggalas tanggungjawab sebagai perseorangan ketiga memastikan Malaysia melengkap aksi dengan kemenangan 3-0 setelah dia membenam Liu Kwai Chi 11-5, 11-6, 11-5 dalam masa 16 minit.

Seorang lagi wakil negara, Rachel Arnold yang menghuni ranking No. 18 dunia direhatkan, hari ini dan khidmatnya lebih diperlukan Malaysia, esok apabila berdepan Perancis pukul 10 pagi dan menentang Ireland dalam aksi terakhir Kumpulan E pada sebelah petang.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Andrew Cross berkata, anak-anak buahnya bermain dengan baik, hari ini, dan ketiga-tiga mereka melaksanakan tanggungjawab seperti mana yang diharapkan.

“Kesemua mereka melakukan tugas masing-masing secara profesional, tetapi, cabaran sebenar menanti skuad negara apabila Perancis menanti kita dalam perlawanan pagi esok, sebelum menentang Ireland di sebelah petang,” katanya sewaktu dihubungi di Hong Kong.

Sementara itu, dalam saingan berpasukan lelaki, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan E akan membuka aksi mereka menentang Scotland (pukul 10 pagi) dan Filipina (5.30 petang), esok.

Skuad lelaki kebangsaan diketuai pemain No. 13 dunia, Ng Eain Yow, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar, Sanjay Jeeva dan Mohamad Syafiq Kamal. – UTUSAN