Hafizh tutup aksi ARRC 2024 di kedudukan ketiga

Sukan

PETALING JAYA: Pelumba dua roda negara, Hafizh Syahrin Abdullah menutup aksinya pada Kejuaraan Motosikal Asia FIM 2024 (ARRC) di kedudukan ketiga keseluruhan dalam perlumbaan penutup musim di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand, semalam.

Hafizh yang mewakili JDT Racing Team mengumpul 154 mata untuk kesemua enam pusingan ARRC dalam perlumbaan bagi kelas Asia Superbike 1,000cc.

Juara keseluruhan untuk kelas utama tersebut menjadi milik pelumba Jepun, Yuki Kunii yang mengutip 183 mata, manakala Andi Farid Izdihar dari Indonesia berada di tangga kedua setelah mengumpul 181 mata.

Dalam perlumbaan 1, anak jati Ampang, Selangor itu berada di tangga kelima setelah mencatat 20 minit 53.22 saat (s), manakala dalam perlumbaan 2 dia sekadar menamatkan aksinya di kedudukan ke-10 (21:31.096s) selepas terbabit dalam kemalangan.

Hafizh dalam satu kenyataan yang dikongsi di dalam akaun Instagram miliknya berkata banyak yang dia dan pasukan belajar daripada perlumbaan musim ini.

“Malangnya saya gagal mencabar kejuaraan, musim ini, apabila melengkapkan saingan di kedudukan ketiga keseluruhan.

“Saya berharap pada masa depan kami akan tampil dengan persembahan yang lebih mantap bermula dari hari pertama lagi kerana kami sering bergelut dengan jentera setiap kali memulakan aksi,” katanya.

Jelas Hafizh, dia serta pasukan perlu terima keputusan tersebut dan sebagai persediaan masa depan, banyak yang perlu diperbaiki terutama kelajuan jentera yang sedikit ketinggalan berbanding pencabar utama mereka.

Selain Hafizh, Malaysia turut mempunyai tiga lagi wakil dalam kelas Superbike iaitu Azlan Shah Kamaruzaman yang berada di kedudukan kelima keseluruhan (126 mata), Md Zaqhwan Zaidi di tangga keenam (121 mata) dan Kasma Daniel Kasmayudin di tempat kelapan (85 mata).

Dalam perlumbaan penutup musim itu, Zaqhwan muncul pelumba terbaik negara apabila dia menamatkan aksinya dalam perlumbaan 1 selaku naib juara (20:46.156s), manakala, untuk perlumbaan 2 dia berada di tangga keempat (20:51.386s). – UTUSAN