Senator harap kerajaan laksana skim insurans kesihatan nasional

Kesihatan

Seorang senator berharap kerajaan dapat mengambil tindakan berani dan tanpa gentar ancaman politik untuk melaksanakan skim insurans kesihatan nasional demi kebaikan rakyat secara keseluruhan.

Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata skim itu, jika diwujudkan, dapat membantu pesakit mendapat perkhidmatan jagaan kesihatan dengan lebih berkesan terutama bagi kes yang memerlukan tempoh menunggu lama seperti radioterapi dan pemindahan organ atau rujukan untuk kes-kes jantung kepada klinik pakar.

Beliau berkata ini kerana melalui skim itu, dana penjagaan kesihatan pesakit dapat dikumpul dengan sebahagian disumbang oleh kerajaan manakakala selebihnya diperoleh melalui caruman rakyat seperti dalam kaedah di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial.

“Dalam soal melaksanakan sesuatu inisiatif seperti merasionalisikan subsidi diesel, memang ada risiko politiknya dan rungutan tetapi kesan keberanian kerajaan, ia akhirnya dapat menyelamatkan wang rakyat daripada disalurkan kepada golongan yang tidak layak.

“Oleh itu, dalam kes skim insurans ini, bentuknya sudah lama dikaji jadi saya harap kerajaan hari ini mempunyai kesungguhan politik untuk melaksanakannya dengan melihat kesan baik kepada rakyat tanpa berasa gentar ancaman politik,” katanya dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Negara hari ini.

Datuk Dr Azhar Ahmad pula menyeru pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya lebih tegas dalam memastikan pemasangan papan tanda iklan di premis perniagaan menggunakan ayat dan tatabahasa Bahasa Melayu yang betul.

Beliau berkata seruan itu bukanlah bersifat perkauman sebaliknya mengambil kira Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini.

“Sebagai contoh, saya pernah melihat papan tanda iklan dengan ayat ‘kedai saya menjual nasi lemak dengan bihun dan sotong yang direbus’. Ini berlaku di kawasan bandar, apakah pihak PBT tidak melihat perkara dan kenyataan ini?

“Jadi, itu yang dimaksudkan oleh perintah atau Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, soal bahasa lain silakan (guna), tidak ada masalah tetapi bahasa kita (Bahasa Melayu) itu telah dimaktub dalam Perlembagaan dan perlu dihormati oleh semua.

“Oleh itu, perkasakanlah bahasa ini melalui penguatkuasaan,” katanya.

Persidangan bersambung esok.

– Bernama