Taiping 150 Ride meriah, ‘pikat’ 1,700 peserta

Sukan

TAIPING: Acara berbasikal Taiping 150 Ride yang kali pertama diadakan semalam menjadi titik penting dalam sambutan ulang tahun ke-150 Taiping serta Tahun Melawat Perak 2024 sehinga berjaya menarik lebih 1,700 peserta.

Penganjuran oleh Kelab Berbasikal Elit dan Gosportz Sdn. Bhd. dengan sokongan daripada Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh itu menawarkan tiga perlumbaan, 90 kilometer (km) dan 60km untuk kategori kompetitif serta kayuhan santai 20km bermula dan berakhir di Dataran Warisan Taiping.

Penunggang elit perlu merentasi kawasan luar bandar Perak hingga ke Sepetang dan Kubu Gajah sambil menikmati keindahan alam, warisan budaya serta keharmonian kawasan tersebut.

Kayuhan santai pula memberi peluang kepada penunggang baharu, keluarga dan peserta muda merasai keseronokan berbasikal sambil menikmati pemandangan indah yang ikonik di Taman Tasik Taiping.

“Taiping 150 Ride lebih daripada sekadar perlumbaan, ia meraikan warisan, perpaduan dan kepelbagaian Taiping. Acara ini menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dari peserta berusia tujuh hingga 77 tahun untuk menghargai legasi 150 tahun Taiping.

“Selain itu, ia turut mempromosikan Taiping sebagai destinasi kayuhan basikal yang menarik dengan laluan-laluan menawarkan pemandangan indah dan cabaran sesuai untuk penggemar sukan ini.

“Acara ini juga bertujuan untuk memberi inspirasi kepada generasi muda, memperkenalkan sukan berbasikal kepada pelajar. Dengan sokongan Kementerian Pendidikan, pelajar menyertai secara percuma dan memupuk semangat kekitaan dari usia muda,” kata Kah Woh.

Dalam masa sama, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menjadikan sambutan lebih istimewa dengan menyediakan Koc Basikal Ekspres membolehkan peserta dan basikal mereka untuk perjalanan ke acara tersebut.

“Menganjurkan acara komuniti di bandar warisan adalah satu pengalaman yang sangat menakjubkan, kami berharap dapat mencipta pengalaman baharu untuk semua penunggang,” kata Pengarah Gosportz, Albert Leong.

Kejayaan acara itu adalah hasil sokongan daripada penaja termasuk Alliance Bank Malaysia Berhad, Perak Transit Berhad, Allianz Malaysia Berhad, Protech Sports, dan Menteri Besar Incorporated.

Agensi kerajaan seperti Majlis Perbandaran Taiping, Visit Perak, Polis Diraja Malaysia serta Pejabat Daerah dan Tanah Larut, Matang dan Selama memainkan peranan penting untuk memastikan kelancaran acara berkenaan.-UTUSAN