Hamdan Daniel gesa siasatan serta pendakwaan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan kes berprofil tinggi dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.
SHAH ALAM – Siasatan serta pendakwaan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan kes berprofil tinggi perlu tegas serta dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.
Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, tindakan itu penting bagi mengelakkan wujudnya persepsi pendakwaan terpilih.
“Selain itu, pelaku yang didapati bersalah melakukan rasuah wajar disita harta dan aset dibekukan serta-merta, manakala tempoh hukuman penjara perlu digandakan berbanding sedia ada.
“Penjenayah terlibat salah guna kuasa juga patut diberi hukuman sebat mengikut nilai suapan contohnya RM10,000 bersamaan 10 kali sebatan. Mereka juga boleh dihukum buang daerah dan disenarai hitam untuk keluar dari negara ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pengarah syarikat bergelar Datuk dan seorang penjawat awam kerana disyaki terlibat rasuah berkait projek pembinaan di Sarawak bernilai kira-kira RM250 juta.
Majistret, Mason Jaro Lenya Barayan membenarkan kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40 hingga 50-an direman selama empat hari sehingga 9 Disember ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuching, pada Jumaat.
Menurut sumber, kedua-dua suspek dipercayai berpakat dan berkomplot bagi membolehkan beberapa syarikat mendapat projek pembinaan dikeluarkan pejabat kerja raya sebuah daerah di Sarawak.
Tambah Hamdan Daniel, pendidikan dan kesedaran tentang rasuah musuh nombor satu negara haruslah diberikan secara berterusan kepada kakitangan awam mahupun swasta.
“Di sekolah pula, sangat wajar diadakan modul pendidikan integriti dalam jadual persekolahan bagi mendedahkan pelajar tentang jenayah rasuah dan kesannya kepada negara,” katanya.