Pesalah kes rasuah seawal usia 16 tahun – Azam Baki

Pendidikan

PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan sebanyak 2,337 belia berusia antara 16 hingga 40 tahun ditangkap atas pelbagai kesalahan rasuah dalam tempoh lima tahun sejak 2020 hingga 2024.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, data menunjukkan kesalahan yang dilakukan termasuk menerima dan memberi rasuah serta membuat tuntutan palsu.

Katanya, terdapat juga antara mereka melakukan kesalahan menyalahgunakan jawatan atau kedudukan, pengubahan wang haram, dan kesalahan lain.

“Kes ini membawa kepada 1,073 pertuduhan, dengan 575 individu telah disabitkan kesalahan.

“SPRM menyifatkan trend ini sebagai membimbangkan, kerana ia menunjukkan aktiviti rasuah dalam kalangan belia semakin serius dan perlu dibendung bagi mengelakkan ia menjadi norma dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) tahun 2024 di Auditorium Angkasa, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan usaha SPRM tidak hanya terhad kepada penguatkuasaan undang-undang tetapi juga merangkumi pendidikan dan pencegahan.

“Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah forum, konvensyen, diskusi meja bulat, seminar, bengkel, ceramah, pameran, dan program turun padang.

“Sejak 2022 hingga November tahun ini, sebanyak 257 program melibatkan 38,807 peserta telah dianjurkan untuk mendidik golongan belia. SPRM juga mengadakan 152 program pendidikan bersama NGO yang melibatkan 15,083 peserta dalam tempoh sama,” katanya.

Tambah Azam, keberkesanan program SPRM mencapai matlamat apabila data menunjukkan keberkesanan mencapai 93.85 peratus dalam kalangan belia, manakala NGO mencatatkan tahap keyakinan dan sokongan terhadap usaha pencegahan SPRM sebanyak 93.56 peratus.

“Data ini menunjukkan bahawa pendekatan pendidikan dan kesedaran antirasuah kami berjaya meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap isu ini,” katanya.-KOSMO! ONLINE.