KUALA TERENGGANU: Pas Terengganu menafikan kepemimpinan parti itu berada dalam zon selesa dan culas berkhidmat kepada rakyat setelah ‘menenggelamkan’ UMNO di negeri ini pada Pilihan Raya Negeri Ke-15.
Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dan Pas Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, pimpinan parti itu sentiasa bergerak aktif di lapangan untuk berkhidmat kepada rakyat.
Katanya, PN yang diterajui Pas bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Terengganu sentiasa mengatur gerak kerja tersusun dari peringkat kampung hingga negeri walaupun Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) belum diketahui tarikhnya.
“Kita tidak pernah leka, culas atau ambil mudah semua permasalahan rakyat di peringkat akar umbi.
“Setiap aduan yang dikemukakan termasuk dalam media sosial WhatsApp, Facebook atau TikTok sentiasa kami (wakil rakyat) ambil cakna dan selesaikan segera,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Pada PRN15, gabungan PN Terengganu mencatat kemenangan besar apabila menyapu bersih semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pas menang di 27 kerusi manakala Bersatu pula di lima kerusi dengan dua bekas Menteri Besar daripada Barisan Nasional (BN) tewas iaitu Datuk Seri Ahmad Said (Kijal) dan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (Seberang Takir).
Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat berkata, berdasarkan maklum balas rakyat yang ditemui, setiap kali turun padang mengakui mereka berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh PN di Terengganu setakat ini.
“Namun, kita tidak akan terbuai-buai dengan pujian yang diberi sebaliknya ada matlamat yang telah ditetapkan dan perlu dicapai di peringkat kampung, kawasan serta negeri.
“Kita tidak pernah terleka setelah menjadi kerajaan dan ketelusan pentadbiran adalah prinsip utama Pas agar kehadiran kita sentiasa dirasai oleh rakyat di segenap kawasan,” katanya. – UTUSAN