Azmin Ali sah Setiausaha Agung, Ahmad Faizal Ketua Penerangan

Politik

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sah dilantik sebagai Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), manakala Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilantik sebagai Ketua Penerangan.

Pelantikan itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) gabungan itu malam tadi yang dipengerusikan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mesyuarat MT PN itu juga turut melantik Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ketua Wanita PN.

Mohamed Azmin turut memaklumkan, Timbalan Pengerusi PN disandang oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin, manakala Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin dan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee masing-masing dilantik sebagai anggota MT PN selaras dengan keputusan pemilihan parti itu baru-baru ini.

“Perkembangan politik di Sabah juga turut mendapat perhatian Mesyuarat MT PN. Kita telah putuskan untuk turut bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan diadakan selewat-lewatnya November 2025.

“Kita memberi tanggungjawab kepada barisan PN Sabah untuk membuat persiapan dan berbincang serta merangka strategi untuk membentuk kerajaan baharu di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi. – UTUSAN