JERANTUT – Keadaan air Sungai Tembeling dan Sungai Sepia yang melimpah ke kawasan tebing menyebabkan dataran perniagaan Kampung Bantal tenggelam buat kali ketiga dalam tempoh tidak sampai sebulan.
Difahamkan kenaikan paras air serta pertembungan aliran kedua-dua batang sungai berkenaan menyebabkan dataran perniagaan di situ mula tenggelam pada pukul 2.22 pagi hari ini tidak berapa lama selepas siren amaran bahaya Jabatan Pengairan Saliran (JPS) berbunyi pada pukul 1.50 pagi.
Penduduk Kampung Seberang Bantal, Jamizan Rashid, 45, berkata, air Sungai Tembeling meningkat sejak petang semalam dengan arus sungai semakin deras dan menghanyutkan reba pokok mati dan kayu reput.
“Kejadian banjir di dataran ini merupakan kali ketiga dilimpahi air, manakala sebelum ini bencana yang sama berlaku pada 26 dan 28 November lalu dan air surut dalam tempoh 24 jam.
“Kita sudah bersiap sedia kemungkinan gelombang kedua Monsun Timur Laut (MTL) bertambah buruk yang lazimnya kawasan Ulu Tembeling terlebih dahulu menerima musibah ini,”katanya.
Tambahnya, keadaan banjir setakat ini hampir menenggelami semua premis seperti kedai kopi, kedai runcit, manakala sebahagiannya terapung kerana dipasang tong plastik. – KOSMO! ONLINE