PETALING JAYA: Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) dinobatkan sebagai ‘Pemenang Anugerah Emas’ dalam Anugerah Majikan Pilihan (Sektor Awam) pada Anugerah Sumber Manusia Antarabangsa Malaysia ke-24 2024 oleh Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM).
Menurut kenyataannya, anugerah tersebut mengiktiraf strategi modal insan teladan Labuan FSA dalam mewujudkan tempat kerja yang inovatif, berkesan dan mampan sambil memupuk budaya kecemerlangan dan keterangkuman.
Katanya, pengiktirafan ini sejajar dengan objektif Labuan FSA untuk mempromosikan pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa yang kukuh, dinamik dan mampan sambil mengutamakan pembangunan bakat, tadbir urus dan inovasi.
Ketua Pengarah Labuan FSA, Nik Mohamed Din Nik Musa berkata anugerah merupakan bukti kepimpinan Labuan FSA dalam amalan sumber manusia dan komitmennya yang tidak berbelah bagi untuk memupuk kecemerlangan bakat.
Beliau berkata, anugerah ini mencerminkan budaya kolaboratif dan inovatif dalam Labuan FSA yang membuka jalan untuk pencapaian masa depan yang didorong oleh pasukannya yang berbakat dan berdedikasi.
“Labuan FSA kekal komited untuk memupuk budaya dan persekitaran tempat kerja yang kondusif.
“Lembaga akan terus melabur dalam inisiatif yang memacu pertumbuhan dan pembangunan pekerja, termasuk pelancaran alat digital termaju dan peningkatan program pembangunan kepimpinan, memastikan kecemerlangan yang mampan dan pertumbuhan transformatif,” katanya.
Majlis anugerah itu menghimpunkan pemimpin daripada organisasi terkemuka dari pelbagai industri merentasi sektor awam dan swasta untuk meraikan kecemerlangan dalam pengurusan sumber manusia.
Labuan FSA menyerlah kerana inisiatif sumber manusia inovatifnya yang meningkatkan struktur organisasi, tadbir urus dan pengoptimuman tenaga kerja.
Lembaga itu menerajui usaha dalam pendigitalan organisasi, menyediakan faedah pekerja yang komprehensif dan memperjuangkan budaya keseimbangan kerja-kehidupan, menetapkan penanda aras untuk kecemerlangan.-UTUSAN