JAGUH angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin menyalakan potensi pingat emas menjelang Sukan SEA Bangkok 2025 selepas muncul atlet ketujuh terbaik kategori 67 kilogram (kg) pada Kejohanan Angkat Berat Dunia di Manama, Bahrain.
Aznil yang bersaing dalam Kumpulan C pada Sabtu lalu melakar sejarah tersendiri apabila berjaya meleburkan tiga rekod kebangsaan dalam acara snatch, clean & jerk serta keseluruhan kategori tersebut.
Badang berusia 30 tahun itu melakukan angkatan 137kg bagi acara snatch, 171kg (clean & jerk) dan 308kg (keseluruhan), sekali gus menjadi atlet ASEAN terbaik, mengatasi Teerawat Ratphet dari Thailand serta dua atlet Indonesia, Eko Yuli Irawan dan Mohammad Yasin.
Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat menyuarakan keyakinan Aznil berpotensi menyumbang emas buat negara sekiranya mampu mengekalkan momentum sedia ada.
“Prestasi Aznil agak baik dan angkatan dia merupakan rekod kebangsaan bagi setiap acara snatch, clean & jerk dan keseluruhan. Angkatan yang dibuat cukup memuaskan walaupun tidak dapat memenangi pingat.
“Memang hasrat kita untuk dapatkan pingat emas bagi angkat berat di Sukan SEA nanti kerana ia akan jadi sejarah sukan ini. Memandangkan masih ada tempoh 11 hingga 12 bulan, kita tengok bagaimana perkembangan nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan barisan atlet negara supaya berwaspada dengan cabaran daripada negara-negara lain yang mungkin memiliki percaturan tersendiri menjelang Sukan SEA nanti.
“Kalau tengok angkatan Aznil, apa yang berlaku memang begitu (atlet ASEAN terbaik) tetapi kita masih perlu menganalisis bakal-bakal pesaing. Angkatan mereka di Kejohanan Dunia kurang memuaskan tetapi bukan bermakan kita harus selesa,” ujarnya.
Sementara itu, aksi hebat Aznil turut diiringi pencapaian cemerlang Mohamad Aniq Kasdan yang meraih dua pingat perak dalam kategori 61kg menerusi acara clean & jerk (166kg) dan keseluruhan (296kg).