SHAH ALAM: Dewan Pemuda Pas Selangor mendesak kerajaan negeri mengkaji semula dasar kenaikan cukai taksiran sehingga 25 peratus dengan mencari jalan penyelesaian holistik bagi meringankan beban rakyat.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, tindakan kerajaan negeri tetap melaksanakan kenaikan bermula 1 Januari depan itu dianggap gopoh dan menyusahkan walaupun keadaan ekonomi rakyat kini semakin memburuk kerana bukan sahaja berdepan cukai-cukai yang membebankan ditambah dengan beberapa subsidi dihapuskan.
“Lebih buruk, situasi ini mencetuskan ketidaktentuan harga barangan yang sudah tentu semakin menghimpit kehidupan rakyat.
Apakah yang membuat kerajaan terburu-buru melaksanakan dasar itu sedangkan realitinya kesihatan kewangan rakyat masih kritikal?” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan nilai cukai taksiran baharu bagi 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor yang melibatkan kenaikan sehingga 25 peratus dilaksanakan bermula Januari tahun depan.
Exco Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Ng Suee Lim berkata, pelaksanaan itu selepas tertangguh lima tahun selaras dengan peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
Jelas Mohamed Sukri, Suee Lim menyatakan kesemua PBT akan mendapat lebihan kutipan cukai taksiran RM355 juta selepas kenaikan itu.
“Namun, jika diteliti ucapan Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) ketika Belanjawan Selangor 2025 lalu, tindakan menaikkan cukai taksiran adalah suatu yang tidak wajar buat masa ini.
“Dalam pembentangan itu, Menteri Besar bangga menyatakan kerajaan negeri mampu menambah rizab semasa sebanyak RM751.46 juta bahkan rizab terkumpul pula sebanyak RM4.37 bilion,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mempertikaikan tindakan kerajaan negeri yang disifatkan terus memerang wang rakyat.
“Apa yang mahu dibuktikan kerajaan Selangor kepada rakyat jika masih terus memerah wang rakyat. Adakah dasar kenaikan cukai taksiran ini membuktikan kerajaan negeri tidak pandai mencari sumber pendapatan?
“Atau juga hanya mengharapkan hasil premium tanah dan cukai daripada rakyat untuk meneruskan survival?” soalnya.
Kata Mohamed Sukri lagi, pihaknya mahu dasar itu dinilai semula demi kehidupan rakyat Selangor yang lebih baik.
“Kita tidak mahu kerajaan pimpinan Amirudin digelar kerajaan parasit yang hanya mampu hidup di atas kesusahan pihak lain semata-mata,” tegasnya. – UTUSAN