Aaron-Wooi Yik bangkit atasi pasangan China

Sukan

PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mencatat kemenangan dramatik ke atas pasangan China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu dalam aksi Kumpulan B Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 di Hangzhou, China, malam tadi.

Pasangan No. 5 dunia itu bangkit selepas tewas set pertama untuk menang 17-21, 21-18, 21-15 di Pusat Gimnasium Olimpik Hangzhou.

Kemenangan ini merupakan yang kedua buat Aaron-Wooi Yik ke atas gandingan China tersebut dalam empat pertemuan sebelum ini.

Namun, Aaron mengakui perasaannya bercampur baur kerana Xiang Yu dipercayai mengalami kecederaan ketika set penentuan berlangsung.

“Kami tidak berada di tahap terbaik, dan kami dapat rasakan Xiang Yu cedera. Harap dia segera pulih,” kata Aaron kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Aaron-Wooi Yik akan berdepan Fajar Alfian-Rian Ardianto dari Indonesia, hari ini.

Dalam aksi Kumpulan A, beregu profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei terpaksa akur tewas kepada pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.

Izzuddin-Sze Fei kini berdepan misi wajib menang ke atas pasangan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan untuk kekal bersaing ke separuh akhir. – UTUSAN