33 pemain warisan dalam senarai Harimau Malaya?

Sukan

PETALING JAYA: Seramai 33 pemain warisan yang beraksi di luar negara berada dalam senarai penilaian unit khas skuad kebangsaan untuk dipanggil mewakili Harimau Malaya.

Menurut sumber, senarai pemain itu sudah dikenal pasti dan unit khas bakal diumumkan ada 15 Disember ini sudah mula melakukan kerja-kerja di belakang tabir.

“Sekarang difahamkan sudah ada 33 pemain warisan termasuk naturalisasi dalam senarai untuk wakili Harimau Malaya pada masa akan datang khususnya kelayakan Piala Asia 2027.

“Sekarang, pemain-pemain ini sedang penilaian dan juga proses dokumentasi untuk membolehkan mereka mewakili Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

“Apa yang boleh saya cakap ialah kita tunggu pengumuman menerusi unit khas Harimau Malaya yang dijangka pada 15 Disember ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Sebelum ini, pencetus idea unit khas Harimau Malaya, Tunku Mahkota Ismail mengesahkan pemain warisan luar negara kini dipantau rapi untuk dipanggil mewakili skuad kebangsaan.

Harimau Malaya dijangka mengalami revolusi besar-besaran menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 yang dijadualkan bermula pada Mac tahun hadapan.

Terdahulu,Tunku Mahkota Ismail merangkap Pemangku Sultan Johor memaklumkan terdapat perancangan untuk menaturalisasikan Bergson Da Silva dan juga Manuel Hidalgo.

“Falsafah yang sesuai dengan pemain yang ada. Beraksi lebih padat, menyerang dan bertahan sebagai satu unit. Disiplin sebagai satu kunci, InsyaAllah boleh.

“Bergson boleh dinaturalisasikan sebagai pelan jangka pendek selepas beraksi lima tahun di Malaysia. Hidalgo juga sebagai pelan jangka panjang dengan pemain lain yang ada,” kata Tunku Mahkota Ismail.

Dalam masa yang sama baginda memberi bayangan sudah ada calon pengarah sukan dan ketua jurulatih baharu yang kini giat bekerja di belakang tabir bagi merencana perjalanan skuad kebangsaan.-UTUSAN