Pengorbanan mahal Fergus Tierney

Sukan

PETALING JAYA: Pengorbanan Fergus Tierney kepada Harimau Malaya perlu dibayar dengan harga mahal apabila penyerang muda itu ditamatkan kontrak oleh kelabnya, Chonburi FC.

Tierney yang muncul penyelamat Harimau Malaya ketika terikat 2-2 dengan Kemboja pada aksi pembukaan Piala ASEAN 2024 pada Ahad lalu disingkirkan selepas memilih untuk mewakili Malaysia.

Susulan keputusan Tierney menyertai kejohanan yang berlangsung diluar kalendar FIFA itu, Chonburi FC bertindak menamatkan kontrak pinjamannya daripada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Difahamkan, tindakan Tierney itu dianggap tidak profesional oleh Chonburi FC kerana khidmat penyerang tersebut diperlukan diperingkat kelab kerana Liga 2 Thailand masih berjalan.

Menguatkan lagi spekulasi berkenaan, satu kiriman daripada Talungballthai mendedahkan bahawa wartawan sukan terkenal Thailand iaitu Jay Waropat, turut mengakui ia berpunca daripada keinginannya mahu menyarung jersi kebangsaan.

Pemain berusia 21 tahun itu menyertai kelab Thailand berkenaan pada Julai lepas berjaya membantu JDT II muncul naib juara Piala MFL dan turut dipanggil menyertai skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) bagi menghadapi saingan Piala Asia B-23.

Sepanjang bersama Chonburi, Tierney diberi kepercayaan untuk tampil dalam 13 perlawanan Liga Thailand dan juga mencetak satu gol serta satu hantaran bantuan buat pasukan tersebut.

Selepas selesai Piala ASEAN 2024, masa depan Tierney pastinya menjadi tanda tanya penyokong sama ada akan kembali bersama JDT atau dipinjamkan ke pasukan baharu.-UTUSAN