Saya merayu rakan-rakan dalam Pas bersabar –  Ahmad Fayhsal

Politik

KUALA LUMPUR: “Saya merayu pada rakan-rakan dalam Pas supaya bersabar dan jangan ‘marahkan nyamuk tetapi kelambu (pula) dibakar’. Itu sahaja pesanan saya.”

Itu pesanan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal  kepada pemimpin Pas susulan peletakan jawatan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN).

Wan Ahmad Fayhsal turut berharap pemimpin-pemimpin Pas bersabar dengan peletakan jawatan Ahmad Samsuri itu.

“Saya tidak boleh ulas panjang kerana saya bukan lagi Ketua Pemuda (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan tidak terlibat dalam Majlis Tertinggi PN. Saya tidak tahu punca beliau meletakkan jawatan, itu hanya antaranya dengan Pengerusi PN.

“Saya merayu pada rakan-rakan dalam Pas supaya bersabar dan jangan ‘marahkan nyamuk tetapi kelambu (pula) dibakar’. Itu sahaja pesanan saya,” katanya ditemui di Parlimen hari ini.

Sementara itu, Ketua Wanita PN, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, beliau terkejut dengan peletakan jawatan Menteri Besar Terengganu itu.

Kata Mas Ermieyati, setakat ini beliau tidak mengetahui alasan peletakan jawatan Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas.

“Sudah pasti saya terkejut, tapi yang lain saya tidak pasti (kerana) saya tidak tahu sebabnya, saya baru sahaja dilantik pada Isnin lalu. Jadi, tiada apa-apa maklumat (mengenai peletakan jawatan Ahmad Samsuri).

“Kena tanya pada (Pengerusi PN,) Tan Sri (Muhyiddin Yassin sendiri). Pada kali pertama mesyuarat malam itu memang (Ahmad Samsuri) tidak ada, beliau tidak hadir,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Media, Bangunan Parlimen.

Terdahulu, media melaporkan, Ahmad Samsuri mengumumkan melepaskan jawatan Bendahari Agung PN semalam.

Memetik laporan portal rasmi partinya, pengumuman itu dibuat menerusi satu kenyataan ringkas kepada barisan kepimpinan Pas Pusat. – UTUSAN