Bersatu bersikap tidak adil terhadap Pas

Politik

KUALA NERUS: Pemimpin Parti Pribumi  Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa bersikap tidak adil terhadap Pas apabila membolot semua jawatan penting dalam Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, peletakan jawatan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menunjukkan kekecewaan pemimpin Pas itu terhadap tindakan Bersatu.

Malah, katanya, tindakan itu juga menunjukkan Pas diperlaku secara tidak adil.

“Kalau kita lihat semua jawatan utama dalam PN dibolot Bersatu dan kalau kita lihat di Terengganu, di Kelantan (dan) di Kedah, ahli Parlimen Bersatu menang, dia bukan menang atas logo Bersatu, dia menang atas logo Pas.

“Jadi saya faham kekecewaan atau pun mungkin apa natijah dan penyebab kepada tindakan (Ahmad Samsuri) yang sangat tergempar ini.

“Saya simpati (kerana) seharusnya mereka (Bersatu) lebih bersikap adil terhadap Ahmad Samsuri,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas peletakan jawatan Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu sebagai Bendahari Agung PN.

Sebelum itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi hadir pada Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 Bersama Siswa di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PKR itu enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada tindakan Ahmad Samsuri itu menandakan keretakan hubungan antara Pas dan Bersatu.

“Tak boleh tidak kerana tadi pun saya baca bagaimana Ketua Penerangan dan juga Ketua Wanita PN semua tidak tahu kenapa dia (Ahmad Samsuri) meletak jawatan,” ujarnya. – UTUSAN