Hannah jawab isu bendera terbalik Lee Zii Jia

Sukan

PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal mewujudkan kod baharu etika pemakaian yang berkaitan dengan penggunaan Jalur Gemilang pada jersi atlet dalam kejohanan kebangsaan mahupun antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kod pemakaian baharu ini diwujudkan bagi memastikan aspek seperti susunan bendera, jenis logo penaja, dan reka bentuk jersi memenuhi standard yang ditetapkan sebelum atlet memasuki gelanggang.

“Setiap persatuan, termasuk yang bergerak sendiri, harus memastikan jersi mereka teratur sebelum atlet keluar ke gelanggang kerana di situ terdapat penyiaran secara langsung untuk tontonan umum,” katanya.

“Setakat ini, kita tidak mempunyai tata tertib atau kod yang boleh diguna pakai, namun kita akan mengkajinya, dan saya akan meminta Majlis Sukan Negara (MSN) untuk meneliti apa yang boleh dilakukan bagi memastikan perkara ini tidak berulang,” kata Hannah kepada pemberita selepas Simposium Sukan Selamat Antarabangsa di sini, hari ini.

LEE ZII JIA

Terdahulu, Victor, yang merupakan penaja kepada Lee Zii Jia, mencetuskan kekecohan di laman sosial apabila Jalur Gemilang yang dipaparkan pada jersi pemain berkenaan dilihat terbalik ketika aksi pembukaan Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 menentang pemain Taiwan, Chou Tien Chen, kelmarin.

Dalam pada itu, Hannah menerima permohonan maaf daripada Victor atas tindakan pantas mereka mengeluarkan kenyataan sejurus isu ini timbul.

Bagaimanapun, beliau menggesa persatuan sukan yang bergerak sendiri mahupun penaja agar lebih teliti dalam penggunaan Jalur Gemilang pada jersi atlet negara.

“Melihat ke hadapan, mungkin kita perlu ada saranan atau kod untuk membantu semua pihak menjalankan tugas dengan lebih teliti supaya perkara seperti ini tidak memalukan negara.

“Pada masa ini, saya tidak mempunyai rujukan khusus, tetapi saya akan meminta PUU (Pegawai Undang-undang) untuk meneliti perkara ini. Saya percaya memang ada undang-undang sedia ada yang boleh diguna pakai, tetapi bentuk tindakan yang sesuai masih perlu ditentukan,” katanya.-UTUSAN