PETALING JAYA: Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia mengiringi beregu utama Aaron Chia-Soh Wooi Yik selepas masing-masing memenangi perlawanan kedua peringkat kumpulan Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 di Hangzhou, China, sebentar tadi.
Zii Jia mudah mengatasi pemain Denmark merangkap rakan baiknya, Anders Antonsen menerusi keputusan straight set 21-14, 21-19.
Dua kemenangan berturut-turut itu sekali gus menempah nama pemain No. 8 dunia berkenaan untuk beraksi pada separuh akhir yang bermula Sabtu ini.
Sementara itu, Aaron-Wooi Yik bangkit dari ketinggalan set pertama untuk mengatasi pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 21-19, 14-21, 15-21 dalam tempoh 58 minit.
Kemenangan dua kali berturut-turut itu turut mengesahkan kemaraan mereka ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir buat julung kalinya
Ini merupakan pencapaian tertinggi beregu No. 5 dunia itu dalam Jelajah Dunia Akhir apabila sering terkandas pada peringkat kumpulan selepas lima penyertaan mereka sejak 2019.
Dalam masa yang sama, beregu lelaki profesional lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berjaya mencatatkan kemenangan pertama pada aksi kedua Kumpulan A, sebentar tadi.
Gandingan No. 7 dunia itu bagaimanapun, terpaksa bermandi peluh untuk menghidupkan peluang ke separuh akhir selepas mengharungi pertarungan tiga set ke atas pasangan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan 15-21, 21-19, 21-13.
Sze Fei-Nur Izzuddin kini berdepan misi wajib menang, menentang satu lagi pasangan Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin pada aksi terakhir peringkat kumpulan, esok. – UTUSAN