Margin keuntungan tinggi, perdagangan TBB beri impak ekonomi

Perniagaan

PETALING JAYA: Perdagangan tenaga boleh baharu (TBB) dijangka memberikan impak ekonomi yang signifikan melalui peningkatan eksport tenaga kerana tenaga hidroelektrik menawarkan margin keuntungan yang tinggi.

Penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, ini kerana kos pembinaannya hanya melibatkan pelaburan awal, sementara sumbernya, iaitu air, boleh diperbaharui secara alami.

“Usaha ini turut membuka peluang untuk menarik pelaburan baharu dalam sektor tenaga boleh baharu di Malaysia, terutama dalam teknologi solar dan angin.

“Walaupun sektor solar negara masih dalam peringkat awal pembangunan, pelaburan dalam teknologi seperti panel fotovoltaik (PV) berpotensi mencipta lebih 50,000 peluang pekerjaan dan membentuk satu industri yang boleh menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam konteks jangka panjang, beliau berkata, TBB berpotensi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam ekonomi hijau serantau.

“Pengukuhan sektor ini bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi tetapi juga menjadikan Malaysia lebih kompetitif dalam memenuhi permintaan tenaga lestari global.

“Langkah ini, walaupun masih dalam fasa awal, memberikan gambaran jelas tentang potensi masa depan Malaysia sebagai pembekal tenaga hijau di peringkat antarabangsa.

“Dengan eksport tenaga sebanyak 50 megawatt (MW) ke Singapura, usaha ini mencatatkan sejarah sebagai langkah pertama Malaysia dalam perdagangan tenaga boleh diperbarui ke luar negara,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan fasa pertama TBB merentas sempadan dari Malaysia ke Singapura dengan kapasiti 50MW akan dimulakan pada Disember ini.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, satu majlis menandatangani Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (RESA) antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sembcorp Power Pte Ltd (Sembcorp Power) yang disaksikan oleh wakil kerajaan kedua-dua negara telah diadakan (kelmarin) di PETRA.

Pembekalan elektrik hijau merentas sempadan dari Malaysia ke Singapura yang julung kali diadakan ini adalah hasil daripada pelaksanaan bidaan menerusi Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) pada Jun lalu.

Mengulas mengenai peluang syarikat tempatan untuk membekalkan TBB ke Singapura, beliau menjelaskan bahawa mereka mungkin menghadapi kekangan seperti kekurangan lokasi sesuai untuk pembinaan empangan atau infrastruktur tenaga lain.

“Sementara itu, sumber alternatif seperti tenaga angin dan biojisim juga mempunyai had tertentu dari segi pengeluaran dan kebolehgunaan di Malaysia,” katanya. – UTUSAN