Tunggu penjelasan Samsuri – Pas Terengganu

Politik

KUALA TERENGGANU: “Tunggu kenyataan daripada Menteri Besar (Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar). Demikian kata pemimpin Pas Terengganu berhubung tindakan Dr. Ahmad Samsuri yang juga  Naib Presiden Pas meletak jawatan sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara tersebut.

“Tunggu sahaja kenyataan dari Menteri Besar mengenai perkara itu. Beliau ada nyatakan untuk membuat penjelasan dan semua pihak perlu menunggu tanpa membuat apa-apa kesimpulan sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Badan Perhubungan Pas Terengganu, Hanafiah Mat berkata, kepemimpinan negeri tidak tahu tentang peletakan jawatan itu dan tidak mempunyai sebarang maklumat yang jelas.

“Kami pun tahu dari pembacaan dalam media sosial seperti yang dilaporkan berita pelbagai agensi. Maklumat sebenarnya memang kami tidak tahu kerana perkara itu dibangkitkan dalam Mesyuarat Harian Pas Pusat,” katanya.

Menurutnya, perkara itu melibatkan peringkat Pusat dan tiada kaitan dengan negeri. – UTUSAN