JS-SEZ: Malaysia, Singapura tandatangan perjanjian 6 Januari 2025

Perniagaan

ISKANDAR PUTERI: Perjanjian berhubung pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) antara Malaysia dan Singapura akan ditandatangani pada 6 Januari, tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perjanjian tersebut bakal menyelesaikan beberapa isu berbangkit antara kedua-dua negara jiran, selama ini.

Bagaimanapun katanya, lokasi majlis bersejarah tersebut belum diputuskan sama ada di Johor Bahru atau di Putrajaya.

“Pada 6 Januari 2025, kita akan tandatangan perjanjian JS-SEZ antara Malaysia dan Singapura. Melalui perjanjian itu, kita akan selesaikan pelbagai isu yang selama ini kerap berbangkit melibatkan kedua-dua negara termasuklah aspek pergerakan rentas sempadan dan juga jalinan perniagaan.

“Itu antara perkara yang hendak diselesaikan kedua-dua pihak,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Pinetree Marina, Puteri Harbour, di sini semalam.

Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan majlis menandatangani perjanjian mengenai JS-SEZ yang sebelum ini dijadual pada Disember telah ditangguhkan kepada Januari 2025.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dilaporkan berkata, penangguhan itu berikutan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong telah dijangkiti Covid-19.

Sementara itu, Onn Hafiz turut memberitahu pihaknya yakin sektor pelancongan Johor mampu mencapai rekod kehadiran pelancong seramai 12 juta setahun pada tahun depan.