JDT turunkan skuad terbaik berdepan KL City FC

Sukan

PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal menurunkan barisan terbaik ketika berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam ini.

Pengendali JDT, Hector Bidoglio berkata, Harimau Selatan tidak memandang mudah cabaran KL City FC biarpun mereka meraih kemenangan 3-0 dalam aksi terakhir Liga Super ketika berdepan skuad Warga Kota itu minggu lalu.

“Biarpun berjaya menewaskan mereka minggu lalu, ia adalah perlawanan yang berbeza. Kami tidak mahu Piala Malaysia terlepas dari genggaman, jadi pastinya akan memberikan saingan sengit bagi mempertahankannya.

“Justeru, kami perlu tampil dengan corak permainan yang agresif untuk mencari bekalan selesa untuk menghadapi aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim pada 21 Disember ini.

Pada masa sama, pemain juga perlu meningkatkan skil individu selain harus menjalani proses pemulihan bagi mengharungi jadual perlawanan yang padat dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan saingan liga,” kata Bidoglio.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan telah bertemu dua kali musim ini dalam aksi Liga Super yang dimenangi JDT dengan keputusan 5-1 pada aksi di Stadium KLFA Cheras, 25 Mei lalu dan JDT 3-0 pada 3 Disember di Stadium Sultan Ibrahim.- UTUSAN