Sabah FC sah panggil pulang empat pemain

Sukan

PETALING JAYA: Sabah FC mengesahkan pihaknya memanggil pulang empat pemainnya yang berada dalam kem Harimau Malaya bagi menguatkan pasukan untuk berdepan Kuching City FC dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia, Ahad ini.

Pengurus Besar Sabah FC, Mohd Joh Wid berkata, Stuart Wilkin, Daniel Ting, Dominic Tan dan Darren Lock dipanggil kembali ke pangkuan pasukan kerana keempat-empat mereka adalah tonggak utama dan nadi skuad The Rhinos musim ini.

“Sudah semestinya kita memerlukan khidmat mereka (Wilkin, Daniel, Dominic dan Darren) untuk menghadapi Kuching City FC dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia pada Ahad ini di gelanggang lawan.

“Terima kasih kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) kerana sudah memberi pelepasan. Ini adalah perlawanan penting untuk Sabah dalam misi memburu kelebihan untuk mara ke peringkat separuh akhir.

“Empat pemain ini akan terbang dari Kuala Lumpur terus ke Kuching untuk bersama pasukan, mereka tidak akan sertai skuad Harimau Malaya ke Thailand untuk aksi Piala ASEAN pada Sabtu ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente kesal dengan situasi yang dihadapi pemainnya selepas terpaksa beraksi untuk kelab dan juga Harimau Malaya yang menjadi punca pemain tidak boleh fokus 100 peratus.

Mengulas lanjut, Mohd Joh berkata, selepas aksi menentang Kuching City, pihaknya bersedia untuk melepaskan kembali empat pemain berkenaan sekiranya Harimau Malaya masih mahu menggunakan khidmat mereka.

“Jika masih diperlukan selepas ini, kita bersedia untuk lepaskan kembali mereka. Kita mahu guna untuk perlawanan menentang Kuching City sebab mereka ini adalah harapan dan juga tonggak utama,” katanya.

Selepas menentang Thailand esok, Malaysia akan berdepan Singapura dalam perlawanan keempat Piala ASEAN 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 20 Disember ini.-UTUSAN