Pas tunggu penjelasan rasmi Ahmad Samsuri 

Politik

KOTA BHARU: Pas menunggu penjelasan rasmi daripada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Naib Presiden parti itu berhubung tindakannya melepaskan jawatan sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN) bermula kelmarin.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, tindakan itu di luar pengetahuan parti dan hanya diketahui menerusi kenyataan ringkas oleh Ahmad Samsuri kepada barisan kepemimpinan Pusat.

“Pas sendiri tidak mengetahui sebab sebenar beliau (Ahmad Samsuri) mengambil keputusan itu tetapi saya rasa beliau pasti mempunyai sebab yang munasabah. Kita (Pas) mahu komen pun tidak boleh sebab Pas tidak tahu sebab sebenar.

“Oleh itu mana-mana pihak yang mahukan penjelasan perlu berhubung dan bertanya beliau sendiri atau tunggu penjelasan rasmi daripadanya,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menyampaikan Kuliah Pagi Jumaat di Medan Ilmu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor berkata, Pas tidak dapat mengelak isu peletakan jawatan Ahli Parlimen Kemaman itu dijadikan bahan oleh pihak lawan bagi mengatakan PN kini sedang bergolak.

“Apa sahaja yang dibuat oleh gabungan parti ini (PN) akan tetap dijadikan sebagai isu oleh pihak lawan, walaupun apa yang kita buat ini merupakan perkara yang positif.

“Apa pun sehingga kini hubungan antara parti-parti politik dalam PN masih seperti biasa dan tiada sebarang masalah,” ujarnya. – UTUSAN