Amanah Johor mahu kerusi Muda di Muar dan Puteri Wangsa

Politik

JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (Amanah) Johor mahu mengambil kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ketika ini disandang wakil rakyat daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, keputusan itu dibuat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) dan juga Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Katanya, hasrat tersebut wajar kerana kedua-dua kerusi berkenaan telah diberikan kepada Muda pada pilihan raya lalu kerana mereka merupakan rakan sekutu politik Pakatan Harapan (PH).

“Keputusan ini dibuat berdasarkan tindakan dan keputusan Muda untuk tidak lagi bersama kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini.

“Sehubungan itu, kedua-dua kerusi tersebut dianggap sebagai kerusi yang kosong untuk mana-mana parti boleh bertanding,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Ketika ini, Parlimen Muar disandang oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman manakala DUN Puteri Wangsa disandang Amira Aisya Abd. Aziz.

Sementara itu, Dzulkefly turut berharap perkara itu dipersetujui rakan gabungan kerajaan perpaduan iaitu Barisan Nasional (BN) Johor.

“Demi menjaga keharmonian gabungan antara PH dan BN di Johor, kami bercadang dua kerusi berkenaan diserahkan kepada gabungan PH dalam menentukan mana-mana parti gabungan ini untuk bertanding.

“Tuntutan ini berasas kerana pengundi di kedua-dua kerusi berkenaan memilih Muda hanya kerana PH tidak bertanding di kawasan berkenaan,” jelasnya.

Tambah Dzulkefly, Amanah Johor mahu perkara itu diselesaikan secara baik bagi memastikan tiada sebarang pertandingan kerusi sama ada dalam PRU atau PRN kerana sekiranya terjadi, ia hanya akan menguntungkan pembangkang. – UTUSAN