Mohamad enggan layan isu Batu Puteh

Politik

PUTRAJAYA: Datuk Seri Mohamad Sabu enggan melayan soalan pemberita mengenai tindakan berdiam dalam mesyuarat Kabinet pada 23 Mei 2018 mengenai isu Batu Puteh.

Sebaliknya, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu cuma dapat menjawab secara ringkas bahawa beliau akan memaklumkan berhubung isu ‘panas’ tersebut kemudian.

“Saya akan beritahu lain waktu dan ketika nanti,” ujarnya spontan sambil senyum pada sidang akhbar di lobi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di sini.

Terdahulu, beliau melepaskan Skuad Ihsan Madani KPKM yang terdiri 20 sukarelawan meliputi dari pelbagai agensi untuk gerak kerja pasca banjir dihantar ke beberapa negeri.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam menempelak kenyataan tiga pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) kerana hanya ‘membisu’ selama ini.

Tokoh tersebut ‘hairan’ dengan alasan mereka termasuk Mohamad yang pada ketika itu Menteri Pertahanan apabila tidak bersuara dan mendakwa jemaah Kabinet tidak dirujuk.

Mengulas lanjut, Mohamad juga dilihat tidak mahu menjawab apabila ditanya lagi alasan kenapa tidak menentang keputusan Dr. Mahathir itu yang diputuskan pada 21 Mei 2018.

“Takpalah, saya akan jawab apabila sesuai kelak,” katanya sebelum beredar untuk hadir mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet peringkat KPKM selepas acara berkenaan. – UTUSAN