Soon Huat-Shevon sertai Tang Jie-Ee Wei ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir

Sukan

PETALING JAYA: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai memastikan satu lagi tempat untuk Malaysia mara ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 di Hangzhou, China, pagi tadi.

Gandingan No. 10 dunia itu menyelesaikan misi wajib menang mereka ke atas pasangan Indonesia Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja selepas bangkit ketinggalan set pertama 17-21, 21-15, 21-14.

“Kami pastinya sangat gembira kerana kami tidak pernah menyangka kami akan berjaya sejauh ini.

“Ini amat bermakna kepada kami kerana kami tidak mempunyai permulaan yang baik dalam kejohanan,” kata Shevon kepada BWF selepas tamat perlawanan.

Dalam pada itu, Tang Jie-Ee Wei mengekalkan rekod kemenangan mereka dengan menghuni di tangga teratas Kumpulan B.

Pasangan No. 8 dunia itu menamatkan saingan terakhir peringkat kumpulan menumpaskan wakil Jepun Hiroki Midorikawa-Natsu Saito
21-17, 21-18.

Untuk rekod, ini merupakan kali pertama Tang Jie-Ee Wei mara ke separuh akhir selepas sering terkandas di peringkat kumpulan pada beberapa edisi sebelum ini. – UTUSAN