SHAH ALAM: Bersatu Bahagian Shah Alam yang didukung oleh kekuatan 15 cawangannya didakwa akan terbubar apabila kesemua anggota dan ahli jawatankuasanya sebelum ini, dikatakan mahu keluar daripada parti.
Perkara itu didedahkan bekas ahli jawatankuasa bahagian, Mohamad Anuar Giman yang mendakwa akar umbi dari 10 cawangan termasuk bepas pimpinan di peringkat bahagian kecewa dengan penangguhan pemilihan sekali lagi.
Menurutnya, pemilihan tersebut sepatutnya berlangsung pada hari ini, namun ditangguhkan pada saat akhir menerusi surat dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, malam tadi.
“Kami rasa diperkotak-katikkan, dipermainkan dan dianggap tiada maruah apabila pemilihan semula yang sepatutnya berlangsung esok seperti mana ketetapan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dalam mesyuarat pada 16 November 2024 menerusi surat Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) pada 9 Disember lalu.
“Kemudian tiba-tiba, tadi (malam tadi) tak sampai sejam (sebelum menghubungi pemberita) disusuli surat baharu yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung supaya pemilihan semula esok (hari ini) ditangguhkan sekali lagi atas alasan masih dalam siasatan polis,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, hal tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana persediaan sudah dilakukan dan Bersatu Bahagian Shah Alam bersedia memilih pimpinan baharu melalui pemilihan yang sah.
Terdahulu, pemilihan peringkat bahagian itu pada 2 November lalu ditangguhkan selepas berlaku insiden rusuhan susulan pertikaian terhadap tempoh masa kiraan undi yang melibatkan 128 perwakilan serta keraguan ke atas jumlah kertas undi dikeluarkan.
Susulan itu, kiraan semula undi dilakukan, namun dipercayai mengambil masa terlalu lama sehingga pukul 12.30 tengah malam untuk menentusahkan jumlah kertas undi dan pemilihan dilakukan.
Bagaimanapun, terdapat perwakilan yang tidak berpuas hati kemudian bertindak membuka undi tersebut menyebabkan peti undi dirampas dan dibawa ke balai polis untuk disimpan sehingga siasatan terhadap pemilihan tersebut selesai.
Persidangan Bersatu Bahagian Shah Alam ketika itu menyaksikan pertembungan antara Mohamad Fadzil Ahmad dan Mohd. Idris Abdul Halim bagi merebut jawatan ketua bahagian.
Dalam pada itu, Mohamad Anuar memberitahu, pihaknya akan mengadakan sidang akhbar esok pada pukul 3 petang di Seksyen 7, Shah Alam sebagai ganti kepada persidangan tersebut bagi mengumumkan tindakan mereka untuk keluar daripada parti.
“Penangguhan tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan tindakan pimpinan atasan dikatakan mahu meletakkan calon atau individu yang boleh mengikut rentak mereka,” dakwanya lagi.
Berdasarkan surat dikeluarkan malam tadi kepada Ketua Bahagiannya, Mohd. Hamidi Abu Bakar, penangguhan pemilihan sekali lagi diputuskan oleh MPT pada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian susulan siasatan Lembaga Disiplin ke atas kejadian rusuhan yang berlaku semasa persidangan Bersatu Bahagian Shah Alam masih lagi berjalan.
Sementara itu, satu sumber terdekat dengan MPT menjelaskan penangguhan persidangan tersebut dibuat sekali lagi apabila kes pada persidangan 2 November lalu masih di bawah siasatan polis.
“Sekarang memang kes itu di bawah siasatan polis dan ada responden berkaitan dengan polis masih belum selesai lagi. Mesyuarat MPT pun sebulat suara sudah berbincang, jadi mereka bersetuju untuk menangguhkan pemilihan semula bahagian Shah Alam,” jelasnya. – UTUSAN