Piala Malaysia: Perak FC janjikan kebangkitan suku akhir kedua

Sukan

LUMUT: Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah mengakui sukar menerima kekalahan 0-1 kepada Sri Pahang FC dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di sini semalam, namun menjanjikan kebangkitan pada aksi kedua nanti.

Menurutnya, masih ada 90 minit pada perlawanan suku akhir kedua di Temerloh pada 22 Disember ini nanti untuk Perak FC menukar keputusan.

Katanya, untuk itu para pemain perlu bekerja keras dalam perlawanan itu nanti dengan memberikan tumpuan memperkemaskan bahagian serangan.

“Walaupun sukar terima kekalahan di peringkat suku akhir pertama ini tapi kita masih ada 90 minit di Temerloh nanti, kita perlu kerja keras.

“Jika dilihat malam ini, kita tak bercakap fasal nasib kerana dalam bola sepak tak ada nasib, kita terima kekalahan ini dan apa yang kita boleh belajar ialah penyudah kita perlu diperkemaskan lagi.

“Saya lihat malam ini banyak peluang untuk gol, sehingga minit-minit akhir pun kita masih dapat peluang namun ketentuan untuk gol, tidak menjelma,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan semalam.

Menurutnya, pemain harus menyalahkan diri sendiri akibat kecuaian ketika bertahan terutama di separuh masa pertama serta kegagalan menyempurnakan peluang gol yang diperoleh.

Katanya, pemain sudah diingatkan supaya tidak melakukan kesilapan kecil apatah lagi apabila bertemu pasukan berpengalaman dalam Liga Super seperti Sri Pahang FC.

“Inilah akibatnya apabila kita melakukan satu kesilapan dalam keadaan tertentu. Namun kita akan terus berjuang, masih ada 90 minit pada perlawanan suku akhir kedua nanti, Perak kena bangkit,” katanya.

Pada perlawanan di sini semalam, Perak FC tewas 0-1 kepada Sri Pahang FC menerusi gol tunggal perlawanan yang dijaringkan Kpah Sherman pada minit ke-23. – UTUSAN