Jangan ‘curi’ ahli parti lain

Politik

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, semua parti yangmembentuk Kerajaan Perpaduan perlu mengelak daripada ‘mencuri’ ahli atau pemimpin parti lain dalam gabungan itu.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan tersebut boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan parti gabungan itu.

Menurut beliau, setiap pemimpin perlu memastikan perjuangan parti menjadi keutamaan dan bukan memanfaatkan kedudukan demi kepentingan peribadi.

“Sebagai langkah terbaik, parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak sepatutnya mengambil ahli parti lain dalam gabungan ini. Jika berlaku sebaliknya, pasti akan ada pihak yang terasa hati.

“Oleh itu, eloklah kita bersama-sama menjaga perpaduan dalam kalangan parti komponen untuk memastikan keharmonian terus terpelihara. Kita perlu menjaga perpaduan dalam Kerajaan Perpaduan ini. Kepentingan rakyat dan negara harus diutamakan, bukan agenda individu” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Kolej Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh memaklumkan, pihaknya setakat ini tidak menerima borang permohonan daripada Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menyertai parti itu.

Beliau berkata, PKR tidak menerima sebarang permohonan keahlian daripada Tengku Zafrul yang merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno dan ketua bahagian UMNO Kota Raja di Klang.

Ahmad Zahid turut mengingatkan pemimpin politik supaya sentiasa mengutamakan kepentingan parti khususnya dalam Kerajaan Perpaduan berbanding sebarang agenda peribadi yang boleh menggugat perpaduan politik negara.

Kata beliau, kepentingan parti perlu sentiasa menjadi keutamaan bagi memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan yang merupakan asas kepada kemajuan negara.

“Mana-mana ahli dan pemimpin parti harus mengutamakan kepentingan partinya sendiri, bukan kepentingan peribadi.

“Jika seseorang itu lebih mengutamakan agenda peribadi, maka wajar bagi ahli parti dan masyarakat menilai integriti pemimpin tersebut,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, tiada sebarang permohonan rasmi diterima setakat ini daripada Tengku Zafrul untuk menyertai PKR untuk menjawat jawatan Menteri Besar Selangor.

“Setakat ini, tiada permohonan rasmi daripada beliau (Tengku Zafrul) dan beliau pun tidak pernah bertemu dengan saya. Oleh itu, kami tidak dapat mengesahkan sebarang berita tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Zahid turut menyatakan pendirian Kerajaan Perpaduan mengenai isu-isu penting seperti Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Batu Puteh telah dijelaskan dengan terang.

“Pendirian kerajaan tentang isu itu (RCI Batu Puteh) adalah jelas,” katanya. – UTUSAN