Tengku Zafrul akui ada berbincang dengan PKR

Politik

PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz belum membuat keputusan berhubung keahliannya dalam mana-mana parti walaupun pernah mengadakan perbincangan dengan PKR.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu bagaimanapun berkata, perbincangan awal berkenaan tidak melibatkan perbincangan jawatan di peringkat negeri mahu pun pilihan raya kecil.

“Walau apa pun, saya tiada pun membuat apa-apa keputusan lagi. Saya berpegang kepada prinsip apabila saya membuat sesuatu keputusan sudah tentu saya akan membuatnya dengan penuh adab dan memaklumkan secara rasmi kepada pucuk pimpinan parti saya,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Tengku Zafrul didakwa akan berpindah parti dari UMNO kepada PKR selepas terdapat dakwaan penyusunan kemasukannya ke parti itu.

Dakwaan gerakan membawa Ketua UMNO Bahagian Kota Raja itu untuk menyertai PKR wujud susulan terdapat perbincangan awal berhubung perkara tersebut.

Perkara itu disahkan Presidennya yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan parti mengamalkan dasar terbuka kepada mana-mana pemimpin untuk menyertai PKR.

Berikut adalah kenyataan penuh Tengku Zafrul:

1. Saya ingin mengulas tentang berita berkenaan situasi keahlian parti politik saya. Sebenarnya, saya tiada membuat keputusan mengenai keahlian mana-mana parti, walaupun seperti yang telah disebut oleh YAB PM, pernah ada perbincangan tentang perkara ini dengan pihak yang berkaitan. Justeru saya amat terkejut dengan perkembangan kenyataan kepimpinan tentang perkara ini. Tambahan pula sejak isu ini mula diketengahkan saya tidak menerima sebarang panggilan dari pucuk pimpinan UMNO untuk bertanyakan isu sebenar.

2. Hakikatnya, saya telah meninggalkan dunia korporat untuk menjadi anggota pentadbiran Kerajaan. Saya lakukan ini kerana saya yakin ianya merupakan landasan kerjaya yang mampu menyediakan ruang dan peluang untuk saya berkhidmat kepada rakyat dan juga menyumbang kepada agenda pembangunan negara secara langsung.

3. Dalam melaksanakan tanggungjawab dan komitmen saya sebagai anggota pentadbiran Kerajaan, wadah perjuangan politik saya tertumpu kepada keperluan melaksanakan tugasan dengan baik bagi manfaat rakyat. Saya juga percaya bahawa hak individu untuk memilih landasan perjuangan merupakan hak asasi dan mutlak kerana tanpa keserasian mustahil untuk seseorang individu itu untuk memberi perkhidmatan yang terbaik.

4. Saya percaya rakyat Malaysia sudah muak dengan politik remeh dan tidak sihat ini. Ini termasuk serangan belakang tabir tanpa asas, agenda cah keting dan sebagainya, terutama sekali kerana saya yakin apa yang rakyat mahu bukan politik ekstrem, tetapi usaha kita semua untuk membina rakyat dan negara. Ramai maklum isu-isu ini semua telah saya ketengahkan sebelum ini dalam konteks UMNO Selangor tetapi malangnya perkara ini masih membelenggu UMNO Selangor.

5. Justeru, dalam memilih wadah perjuangan politik yang sesuai bagi pembangunan rakyat dan negara seterusnya, seperti saya nyatakan, saya pernah ada berbincang dengan Parti PKR. Saya ingin tegaskan dalam perbincangan awal ini tidak ada perbincangan jawatan di peringkat Negeri mahu pun pilihanraya kecil dibincangkan.

6. Walau apa pun, saya tiada pun membuat apa-apa keputusan lagi. Saya berpegang kepada prinsip apabila saya membuat sesuatu keputusan sudah tentu saya akan membuatnya dengan penuh adab dan memaklumkan secara rasmi kepada pucuk pimpinan parti saya.

7. Saya merupakan anggota satu pasukan yang sedang dan akan terus melaksanakan dasar-dasar yang terbaik untuk rakyat. Saya juga percaya dan yakin khemah besar Kerajaan Perpaduan yang telah dibina selama ini mempunyai semangat kerjasama yang utuh dan toleransi yang tinggi. Kerajaan yang mampu menerima perbezaan pandangan dan pendapat di kalangan parti komponen, tanpa mengganggu gugat objektif utama iaitu mengemudi negara ke arah kesejahteraan yang terbaik buat rakyat.

8. Bagi saya, yang penting kita fokus tentang dasar untuk rakyat, berdasarkan politik yang membina dan bukan menghancurkan. – UTUSAN