Lebih baik bersama Kerajaan Perpaduan berbanding lompat ke PN

Politik

SHAH ALAM: Tindakan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz yang didakwa menunjukkan minat untuk menyertai PKR disifatkan lebih baik berbanding beliau memilih pembangkang atau Perikatan Nasional (PN).

Naib Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata tindakan itu adalah lebih baik, namun perlu melalui perbincangan antara parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan dengan melihat kerangka lebih besar.

“Ya, kita bincang elok-elok mana lebih baik, dia lompat ke PN atau bersama-sama dalam jemaah Kerajaan Perpaduan, jadi hal itu kena dilihat secara big framework dan tidak terikut-ikut dengan desakan kelompok (tertentu).

“Itu masing-masing mencuri ambil dan sebagainya. Masing-masing ada maruahnya saya faham, ada big framework yang kadang-kadang orang lupakan, bila dilupakan jadilah macam-macam. Itulah yang jadi tumbang kerajaan 18 bulan, sebab hilang kerangka besar dalam memikirkan kepentingan rakyat secara keseluruhan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan pelepasan Konvoi Misi Bantuan Bencana Skuad Ihsan Madani: Bantuan Pasca Banjir Negeri Kelantan, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran supaya semua parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan perlu mengelak daripada ‘mencuri’ ahli atau pemimpin parti lain dalam gabungan itu.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan tersebut boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan parti gabungan itu.

Bagaimanapun, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dilapor me­ngesahkan terdapat per­bin­cangan awal dalam parti itu berhubung desas-desus penyertaan Tengku Zafrul ke dalam parti berkenaan.

Beliau berkata, PKR mengamalkan sikap terbuka terhadap penyerta­an mana-mana individu ke dalam parti itu.

Sementara itu, jelas Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak, perbincangan yang dimaklumkan oleh Anwar semalam adalah tidak formal dan tidak boleh dijadikan alasan untuk membuat sebarang keputusan rasmi.

“Belum dibawa secara rasmi di peringkat Biro Politik ataupun di peringkat MPP setakat ini secara rasmi dan kita tunggu permohonan rasmi kalau ada, tetapi ia harus dilakukan dengan kaedah perbincangan yang akrab dengan rakan-rakan komponen Kerajaan Perpaduan.

“Tak boleh sebut apa-apa itu hanya desas desus, cerita-cerita yang berlaku. Mungkin berlaku cakap-cakap di luar sana secara tidak rasmi, itu semua tidak boleh dijadikan alasan untuk dibuat keputusan formal,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulangi pendiriannya mengenai kedudukan sebagai menteri besar negeri ini yang didakwa bukan perkara baharu dan ditimbulkan oleh pihak luar tahun 2020.

“Ramai ahli nujum anggap saya tidak jadi menteri besar sejak 2020, bila berlaku ‘Sheraton move’, antara kata-kata mereka ‘habislah kau Amir, kau akan digugurkan’, kemudian berlaku lagi pada 2021 ada lagi ‘kau akan digugurkan’.

“Kemudian ada pilihan raya negeri pun ramai juga sebut saya akan keluarlah, sudah kemas baju. Alhamdulillah, saya tawadu dan bersyukur terus diberi amanah dan kepercayaan oleh anggota parti. Jadi, percaya kepada ahli nujum boleh jadi syirik,” jelasnya.

Jelasnya lagi, pertemuan dengan Anwar di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di sini, semalam hanya berbincang berkenaan keputusan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Sarawak. – UTUSAN