Cklamovski jurulatih baharu Harimau Malaya, Nafuzi B-23

Sukan

PETALING JAYA: Teka-teki siapa ketua jurulatih baharu Harimau Malaya akhirnya terjawab apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengesahkan Peter Cklamovski akan mengisi kekosongan itu.

Jurulatih kelahiran Australia itu menjadi salah seorang yang terlibat dalam struktur organisasi baharu Harimau Malaya.

Untuk rekod, bekas pengurus FC Tokyo itu pernah menjadi penolong jurulatih Australia kepada pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou ketika mengemudi pasukan itu memenangi Piala Asian 2015.

“Peter Cklamovski dari Australia dilantik untuk menggalas tugasan ini selepas beliau dilihat sebagai seorang jurulatih muda yang berkaliber dalam memastikan skuad Harimau Malaya dapat bersaing lebih hebat di pentas antarabangsa bermula dengan kempen Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac depan,” kata FAM dalam satu kenyataan.

Sementara itu, bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain dilantik menjawat jawatan pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara bagi memastikan kesinambungan dan berperanan sebagai pembekal bakat-bakat muda untuk dinaikkan ke skuad senior kebangsaan.

Kedua-dua individu ini akan memulakan tugasan secara rasmi bersama FAM pada 1 Januari 2025.-UTUSAN