Politik bukan tempat untuk bermanja-manja

Politik

KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengingatkan ahli parti itu bahawa politik bukan tempat untuk bermanja-manja dan mengharapkan keistimewaan.

Sebaliknya, kata beliau, politik adalah tempat untuk ahli membina kekuatan bagi menghadapi pelbagai cabaran termasuk budaya cah keting (sabotaj).

Sehubungan itu kata Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan, setiap ahli harus tahu cara untuk mengatasi cabaran yang timbul termasuk dalam parti UMNO sendiri.

“Dalam sebuah organisasi besar yang ahlinya ramai, macam-macam budaya ada, dan di sinilah kita didedahkan untuk membina kekuatan dan memahami, mengatasi cabaran yang kita hadapi.

“Sebagai orang politik, mesti ada kekuatan untuk berhadapan segala cabaran. Kita tidak boleh bermanja-manja masuk politik, kita tidak boleh harapkan ada keistimewaan,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, hari ini.

Semalam, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menegaskan, beliau tidak membuat keputusan mengenai keahlian mana-mana parti walaupun disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada perbincangan awal mengenainya dengan pihak berkaitan. 

Tengku Zafrul juga dilaporkan berkata, rakyat Malaysia sudah muak dengan politik remeh dan tidak sihat, termasuk serangan belakang tabir tanpa asas dan agenda ‘cah keting.’ 

Beliau mengakui ada menyertai perbincangan dengan PKR, namun belum membuat keputusan mengenai penyertaannya dalam parti itu.

Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Mohamed Khaled berkata, setakat ini tiada perbincangan mengenai isu Tengku Zafrul dalam kalangan pemimpin tertinggi UMNO termasuk perbincangan mengenai tindakan yang akan diambil parti terhadap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu.

“Semua kata (kenyataan) tiada yang rasmi, dia (Tengku Zafrul) pun kata tidak ada (sertai PKR). Perdana Menteri pun kata begitu hanya berbual sahaja. Jadi kita tidak bincang hal itu,” katanya. – UTUSAN