Advancecon raih kontrak RM44.6 juta daripada Sime Darby Property

Perniagaan

PETALING JAYA: Advancecon Holdings Berhad (ADVCON), melalui anak syarikat milik penuhnya, Advancecon Infra Sdn. Bhd., berjaya meraih kontrak bernilai RM44.6 juta dari Sime Darby Property Sdn. Bhd. untuk pembangunan infrastruktur di Elmina West.

Kontrak itu adalah untuk pembinaan kerja-kerja infrastruktur utama bagi Fasa 3 – Parcel 2 dan 3 dalam pembangunan yang dicadangkan di Elmina West, salah satu komponen utama di Bandar Elmina, sebuah bandar pesat membangun di Selangor.

Skop kontrak pula merangkumi kerja-kerja infrastruktur utama secara menyeluruh, termasuk pembinaan jalan raya, sistem saliran, retikulasi air, pembetungan, telekomunikasi, dan infrastruktur penting lain.

Projek itu dijangka siap dalam tempoh 18 bulan, iaitu pada 1 Julai 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ADVCON, Datuk Phum Ang Kia berkata, pihaknya menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Sime Darby Property sebagai pelanggan setia kumpulan.

“Kontrak ini sekali lagi menekankan kekuatan kerjasama kami dan keupayaan Advancecon untuk menyediakan penyelesaian infrastruktur yang memenuhi keperluan mereka.

“Setelah bekerjasama dalam pelbagai projek bersama Sime Darby Property, kami komited untuk mengekalkan kualiti dan kecekapan yang diharapkan daripada Advancecon.

“Projek ini turut memberi peluang kepada kami untuk terus menyumbang kepada pembangunan Elmina West, sebuah bandar utama di Selangor, dengan memastikan penyampaian kerja-kerja infrastruktur berkualiti tinggi secara tepat pada masanya.

“Sebagai sebuah syarikat, kami terus berpegang kepada piawaian tertinggi dalam aspek kualiti, keselamatan, dan kecekapan, yang menjadi asas kepada kerjasama jangka panjang kami,” katanya.

Setakat 30 September 2024, nilai buku tempahan belum dibilkan Advancecon telah meningkat kepada RM321.6 juta, mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam sektor infrastruktur Malaysia. – UTUSAN