Lompat parti sesama komponen tidak bermaruah

Politik

ALOR SETAR: Parti komponen sesama Kerajaan Perpaduan tidak sepatutnya melayan tindakan ahli yang melompat parti kerana perbuatan itu disifatkan sebagai sangat tidak bermaruah. 

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, pihaknya menyokong ketegasan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang memandang serius dan menolak tindakan ahli berpangkat ‘kepimpinan’ mengadakan perbincangan untuk melompat parti.

Menurutnya, tindakan tersebut bukan sahaja tidak beretika, tetapi terdesak dan ‘oportunis’ serta boleh menjadi barah yang mampu meruntuhkan struktur parti.

“UMNO Kedah memohon agar komponen parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak sama sekali melayan tindakan yang sangat tidak bermaruah ini. 

“Ini kerana, kami kekal komited mendukung kerjasama dalam kerajaan Perpaduan, namun perlu ada garisan tertentu yang perlu dihormati semua pihak,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan terdapat perbincangan awal dalam parti itu berhubung desas-desus penyertaan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Perdana Menteri berkata, PKR mengamalkan sikap terbuka terhadap penyertaan mana-mana individu ke dalam parti itu.

Tambah Shaiful Hazizy, UMNO Kedah amat mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ahli parti berpindah dan melompat parti walaupun ianya berlaku antara parti komponen Kerajaan Perpaduan. 

“Tindakan ini sangat tidak boleh diterima dan parti perlu mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli yang bertindak berbuat demikian.

“Malah, pendirian Presiden membuktikan beliau bukan sahaja tegas tetapi komited dalam memelihara kestabilan hubungan antara sesama komponen parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan,” ujarnya. – UTUSAN