Cklamovski wajib atasi rekod Pan Gon

Sukan

PETALING JAYA: Cabaran besar menanti pengendali baharu Harimau Malaya, Peter Cklamovski apabila perlu mengatasi pencapaian yang pernah dilakar Kim Pan Gon sebelum ini.

Meskipun Pan Gon tidak memenangi trofi untuk skuad negara, namun banyak perubahan yang ditampilkan Harimau Malaya ketika dibawah kendalian jurulatih dari Korea Selatan itu.

Antaranya berjaya memperbaiki ranking serta mengemudi Harimau Malaya ke Piala Asia 2023 secara merit selepas 42 tahun yang menjadi ‘kenangan terindah’ peminat bola sepak tanah air.

Justeru perlantikan pengendali baharu dari Australia ini diharap mampu menyuntik revolusi baharu dalam bola sepak Malaysia dan lebih baik daripada apa yang telah dilakukan Pan Gon.

Pemerhati sukan negara, Mohd Sadek Mustafa berkata, tiada pengalaman sebagai ketua jurulatih buat mana-mana skuad kebangsaan bukan masalah utama untuk Cklamovski.

Tegasnya, cabaran utama yang perlu dibuktikan dalam tempoh terdekat ini adalah memastikan Malaysia layak ke Piala Asia 2027 dan mengatasi apa yang telah dilakukan Pan Gon.

“Mengenai ada pengalaman sebagai ketua jurulatih atau tidak ia bukan masalah utama. Lagipun beliau miliki pengalaman sebagai pembantu kepada jurulatih Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou ketika mengemudi skuad kebangsaan Australia menjuarai Piala Asia 2015.

“Beliau juga pengurus salah sebuah kelab bola sepak Jepun. Perkara utama di sini adalah tugas dan cabaran beliau serta sejauh mana beliau memahami politik bola sepak Malaysia.

“Kita semua tahu Pan Gon telah letak penanda aras dalam bola sepak Malaysia jadi cabaran pertama beliau adalah mengatasi Pan Gon serta layak ke Piala Asia,” katanya Sadek kepada Utusan Malaysia, semalam.-UTUSAN