Pelantikan Musa tiada kaitan dengan PM – Fahmi Fadzil

Politik

PETALING JAYA: Pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah mengikut budi bicara Yang di-Pertuan Agong, selepas mendapat nasihat daripada ketua menteri.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai sebarang peranan dalam apa jua keadaan proses lantikan itu.

Beliau yang menyelar kenyataan Pemangku Presiden Muda Amira Aisya Abd Aziz sebelum ini turut menggesa agar pemimpin Muda itu meneliti Perlembagaan Sabah.

“Sebelum YB membuat kenyataan tanpa asas fakta seperti ini, seharusnya YB teliti dahulu Perkara 1(1) Perlembagaan Negeri Sabah yang jelas menyatakan tugas dan tanggungjawab dalam pelantikan TYT Sabah,” katanya menerusi kenyataan di X.

Sebelum ini Amira yang juga Adun Puteri Wangsa membangkitkan dakwaan rasuah terhadap Musa ketika menjadi ketua menteri Sabah, dan mendakwa kerajaan ’meraikan perasuah’.