Victor pening beberapa tonggak tidak dapat diturunkan

Sukan

ALOR SETAR: Dalam keadaan pasukan dilanda 1,001 masalah, pengendali sementara Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Victor Andrag berdepan satu lagi dugaan besar apabila beberapa tonggak utama dijangka tidak dapat beraksi menentang Penang FC, malam esok.

Menurut Victor, ketika ini penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad sudah pasti tidak dapat diturunkan kerana masih belum pulih daripada kecederaan buku lali yang dialami ketika menyarung jersi negara baru-baru ini.

Selain itu katanya, tahap kecergasan beberapa pemain juga dilihat tidak berada pada tahap terbaik untuk beraksi dalam perlawanan malam esok.

“Syafiq masih belum pulih manakala tahap kecergasan beberapa pemain antaranya Ebenezer Assifuah, Amirul Hisyam Awang Kechik serta Hasbullah Abu Bakar bukan di tahap terbaik.

“Disebabkan itu hingga kini saya masih belum mempunyai bayangan mengenai kesebelasan utama yang akan diturunkan. Segalanya bergantung kepada keadaan semasa pada hari perlawanan nanti,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dengan segala masalah dihadapi katanya, beliau menjangkakan KDA FC bakal berdepan misi cukup getir untuk meraih tiga mata, malam esok.

“Namun saya amat berharap agar para pemain dapat menunjukkan semangat juang tinggi dalam aksi itu nanti.

“Harapnya kami mampu meneruskan rentak kemenangan setelah menundukkan KL Rovers 3-0 di Piala Cabaran dalam aksi terakhir, sebelum ini,” katanya. – UTUSAN