GEORGE TOWN : Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dilaporkan bersedia untuk melabur sehingga RM1 bilion bagi membiayai pembinaan dua buah loji rawatan air (LRA) di Seberang Perai mulai tahun depan.
Menurut PAAB, LRA itu ialah di Sungai Perai dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dengan kapasiti 136 juta liter air sehari (MLD) manakala satu lagi projek melibatkan pembinaan LRA di Sungai Muda dalam daerah Seberang Perai Utara (SPU) dengan kapasiti 114 MLD.
“Apabila siap kelak, 15 peratus margin simpanan air terawat dapat dikekalkan di negeri Pulau Pinang serta berupaya mengatasi permintaan tinggi pengguna di kawasan SPT dan SPU untuk menyokong keperluan pembangunan masa depan,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, delegasi PAAB iaitu sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, pagi tadi.
Kunjungan hormat yang diketuai oleh Pengerusi PAAB, Datuk Seri Ir. Jaseni Maidinsa itu turut disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Ir. Zulkiflee Omar dan Ketua Pegawai Kewangan syarikat itu, Zaleha Abdul Hamid.
Dalam pertemuan berkenaan, PAAB telah memperkenalkan secara lebih terperinci mengenai peranan serta tanggungjawabnya sebagai syarikat yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan bagi menyediakan dana mudah cara dalam melaksanakan projek-projek pembangunan infrastruktur air.
Difahamkan, selain Pulau Pinang, semua negeri yang telah menandatangani Pelan Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air dengan PAAB turut diberikan taklimat yang sama.
Untuk rekod, Pulau Pinang yang diwakili oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah menandatangani Pelan Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air itu pada tahun 2011 dan projek infrastruktur air terbabit merupakan projek pertama yang melibatkan PAAB di negeri ini.-UTUSAN