Rashford sedia tinggalkan United

Sukan

MANCHESTER: Marcus Rashford bersedia untuk meninggalkan Manchester United dan berdepan cabaran baharu selepas khabar angin yang mengaitkannya dalam pasaran perpindahan.

Ahad lalu, United menewaskan Manchester City 2-1, tetapi Rashford dan Alejandro Garnacho, diketepikan oleh Ruben Amorim atas alasan mahu mengekalkan pemainnya pada tahap tertinggi.

Ia menjurus kepada laporan media United yang mengintai peluang untuk menjual penyerang England itu, yang berada di United sejak program akademi sejak berusia tujuh tahun.

“Bagi saya, secara peribadi, saya fikir saya bersedia untuk berdepan satu cabaran baharu dan langkah seterusnya. Apabila saya pergi tiada sebarang perasaan marah.

“Anda tidak akan mendapat sebarang komen negatif daripada saya mengenai United. Itulah saya secara peribadi. Jika saya tahu keadaan sudah teruk, saya tidak akan memburukkannya lagi.

“Saya sudah melihat bagaimana pemain lain pergi pada masa lalu dan saya tidak mahu menjadi seperti mereka. Apabila saya pergi, saya akan membuat kenyataan dan ia akan datang daripada saya,” kata Rashford.

Rashford meledak tiga gol sejak Amorim mengambil alih bulan lalu, tetapi dikeluarkan pada minit ke-56 ketika menang 2-1 ke atas Viktoria Plzen dalam Liga Europa minggu lalu, apabila penyokong mencemuh dan mengejeknya ketika dia keluar padang.

Pemain itu masih belum dapat mengembalikan prestasi yang menyaksikan dia meledak 30 gol dalam semua pertandingan pada musim 2022-2023, tetapi dia masih percaya yang terbaik daripadanya belum hadir.

“Saya baru pertengahan perjalanan dalam karier saya. Saya tidak jangkakan kemuncak saya ketika ini. Saya sudah beraksi sembilan tahun dalam EPL dan ia banyak mengajar saya, ia membantu saya berkembang sebagai pemain dan individu.

“Jadi saya tidak ada sebarang kesalan daripada sembilan tahun terakhir itu. Saya tidak menyesal menghadapi masa depan kerana saya menanganinya hari demi hari dan kadang-kadang perkara buruk berlaku, kadang-kadang perkara baik berlaku,” katanya.- AGENSI