Mursyidul Am berhak suarakan pandangan-Pas Kelantan

Politik

KOTA BHARU: Pas Kelantan melihat Mursyidul Am Datuk Hashim Jasin berhak menyuarakan pandangan berhubung isu pembahagian jawatan penting dalam Perikatan Nasional (PN) atas kapasiti sebagai salah satu pemimpin tertinggi parti.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan bagaimanapun berkata, satu ketetapan berkaitan usaha memperkuatkan PN sebagai sebuah gabungan parti-parti politik perlu dilakukan untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.

“Lebih penting kita perlu buat satu ketetapan untuk memperkasakan dan memperkukuhkan PN menuju PRU16 nanti,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Mohamed Fadzli memberitahu, semua urusan berhubung perkara itu perlu diserahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan Pas Pusat.

“Sebenarnya saya tidak layak untuk memberikan pandangan mengenai pembahagian jawatan penting dalam PN tetapi beliau (Hashim) telah menyuarakan pendapatnya sebagai Mursyidul Am Pas.

“Di peringkat kita sebagai ahli, kita serahkan perkara ini kepada pucuk pimpinan pusat,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum itu melaporkan, Hashim secara terbuka menegaskan jawatan-jawatan utama dalam PN tidak sepatutnya hanya dikuasai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sehingga meminggirkan parti lain terutama Pas dalam gabungan berkenaan.

Beliau berkata, meskipun pimpinan Pas tidak banyak bersuara dalam isu tersebut demi menjaga hubungan, namun Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN sepatutnya lebih adil dalam menentukan kedudukan dalam gabungan itu.

Justeru, beliau menyarankan supaya rundingan semula dilakukan dalam menentukan jawatan dalam gabungan tersebut.-UTUSAN