Mutu pengadil berat sebelah – Fandi Ahmad

Sukan

ISKANDAR PUTERI: Pengendali Sri Pahang FC (SPFC), Fandi Ahmad mempertikaikan mutu pengadilan yang disifatkan berat sebelah sehingga merosakkan rancangannya untuk mencuri mata ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila tewas 1-3 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Dia menzahirkan rasa kesal dengan cara pengadil mengendalikan perlawanan itu yang disifatkan tidak berlaku adil terhadap pemainnya yang dilayangkan tiga kad kuning, manakala tiada pemain JDT dikenakan tindakan sama setelah penyerang importnya, Kpah Sherman yang dikasari berulang kali.

Katanya, pengadil membuat keputusan yang lambat untuk merujuk video bantuan pengadil (VAR) setelah permainan dibenarkan bersambung dan menghadiahkan sepakan penalti kepada skuad Harimau Selatan.

“Yang paling saya tak senang sekali, cakap terus terang adalah mutu pengadilan. Main bola sudah macam ragbi, Kpah kena terjah beberapa kali pada babak pertama namun tidak dikenakan kad kuning bahkan tidak diberikan sepakan percuma, tapi kita pula dilayangkan tiga kad kuning.

“Kita tahu mereka pasukan yang bagus, tapi haruslah berlaku adil. Macam mana diberikan penalti bila Arif Aiman (Hanapi) sudah terlepas bola dan pemain kita ‘tackle’ bersih dan dia (Arif Aiman) tercampak. Permainan diteruskan tiga minit, tarik balik (semakan VAR).

“Untuk bola sepak, ini kurang baik. Kalah menang adat permainan dan kita boleh terima kekalahan jika bertanding secara adil dan sudah memberikan segalanya atas padang. Jadi, saya tak boleh terima pengadilan seperit ini,” katanya.

Pengendali berusia 62 tahun itu berkata, cara penggunaan VAR di Liga Malaysia juga boleh dipertikaikan walaupun ia dikendalikan oleh mereka yang berpengetahuan luas dalam bola sepak.

“Sudah pasti VAR tak baik, kita tak tau apa yang mereka bincangkan. Kalau di tempat lain (liga luar), mereka tunjukkan di skrin, bukan hanya tayang video di dalam bilik VAR sahaja dan kita juga tak berpeluang nak tengok,” katanya.

Walau bagaimanapun, Fandi memuji aksi pemainnya yang berjaya mengekang Harimau Selatan daripada mencetak gol pada babak pertama dengan merantai pergerakan penyerang lawan, iaitu Bergson Da Silva, Heberty Fernandes dan Arif Aiman.

“Mungkin berlaku salah faham antara pemain pertahanan dan penjaga gol sehingga kita bolos awal sebaik babak kedua bermula. Walaupun banyak bertahan, kita juga mempunyai peluang untuk mencipta gol, namun JDT yang dibarisi ramai pemain berkualiti beraksi lebih baik,” katanya.-UTUSAN