Penggabungan pasaran rancakkan sektor telekomunikasi

Perniagaan

PETALING JAYA: Penggabungan pasaran boleh mencetuskan semula minat terhadap syarikat telekomunikasi yang telah diabaikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kata AmInvestment Bank Bhd.

Penganalisis Kewangan Bertauliahnya, Paul Yap Ee Xing berkata, Bloomberg sebelum ini (16 Julai 2024) melaporkan bahawa Maxis sedang meneroka pembelian U Mobile, yang boleh menambah nilai daripada potensi sinergi dan persaingan yang lebih sihat.

“Walaupun itu tidak menjadi kenyataan, kami percaya negatif yang telah mengheret sektor ini telah diberi harga.

“Sektor ini menawarkan hasil dividen yang lumayan sebanyak empat peratus, disokong oleh penstabilan hasil perkhidmatan sedia ada dan usaha pemotongan kos yang berterusan,” katanya dalam nota penyelidikan.

Paul berkata, konsolidasi pasaran boleh mencetuskan semula minat dalam sektor itu dan pihaknya percaya penggabungan antara Maxis dan U Mobile adalah masuk akal untuk kedua-dua pihak.

Menurutnya, U Mobile berkemungkinan memerlukan rakan kongsi untuk melancarkan rangkaian 5G kedua, manakala Maxis pula akan menerima faedah dari segi sinergi yang berpotensi dan persaingan yang lebih sihat, sebagai satu bentuk penyatuan pasaran.

“Ini adalah serupa dengan pengumuman penggabungan CelcomDigi pada 8 April 2021, yang menyebabkan harga saham Digi dan Maxis meningkat 19 peratus dan empat peratus sehari selepas pengumumannya.

“Halangan utama mungkin adalah harga dan peraturan. Walau bagaimanapun, jika laporan adalah benar, angka AS$10 bilion (RM44.7 bilion) adalah adil pada pandangan kami, diterjemahkan kepada Nilai Perusahaan(EV)/pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) 2023 sebanyak 9.1 kali, yang sejajar dengan purata industri.

“Halangan kawal selia mungkin terbukti lebih mencabar, kerana gabungan Maxis-U Mobile akan mempunyai bahagian pasaran pelanggan 2023 sebanyak 46 peratus yang akan dianggap sebagai dominan,” ujarnya.

Jelasnya, indeks telekomunikasi dan media Bursa Malaysia akan melaporkan penurunan tahun kelima berturut-turut.

“Walau bagaimanapun, berdagang pada 1sd (sisihan piawai) di bawah harga kepada pendapatan (PE) purata lima tahunnya, kami percaya harga negatif telah ditetapkan.

“Kami mengekalkan ‘neutral’ di sektor telekomunikasi Malaysia, dengan Maxis sebagai pilihan utama kami,” tambahnya. – UTUSAN