TM, Petronas, pacu transformasi digital

Perniagaan

PETALING JAYA: TM menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Petronas melalui cabang digitalnya, Petronas Digital Sdn Bhd (PDSB) dan cabang tenaga bersihnya, Gentari Sdn Bhd (Gentari), untuk memacu transformasi digital dan inovasi mampan bagi industri dan negara. 

Di bawah kerjasama ini, TM dan Petronas akan meneroka aliran pendapatan baharu melalui pengembangan penawaran produk kepada pasaran perusahaan dan pengguna serta memacu pertumbuhan dan inovasi melalui pusat data, teknologi awan canggih dan kesalinghubungan untuk perniagaan di Malaysia. 

Integrasi penyelesaian berasaskan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) serta Internet of Things (IoT) dijangka dapat mengoptimumkan perkhidmatan, meningkatkan kecekapan operasi, dan menambah baik perkhidmatan awam, menyumbang kepada masa depan yang lebih pintar dan mampan.

Naib Presiden Eksekutif bagi TM One, Shazurawati Abd Karim berkata, pihaknya berbesar hati bekerjasama dengan Petronas dalam memacu inovasi digital dan mampan yang akan memperkasa pertumbuhan, kemajuan industri serta keupayaan teknologi Malaysia. 

“Infrastruktur TM yang kukuh di seluruh negara dan penyelesaian yang pelbagai sejajar dengan matlamat Petronas untuk transformasi tenaga. Dengan memanfaatkan kuasa 5G, awan, AI dan IoT, kami sedang membina asas untuk masa depan yang lebih cekap dan berdaya tahan. 

“Ini mencerminkan visi bersama kami untuk Malaysia yang lebih maju secara digital dan mampan, komitmen penting dalam usaha TM untuk menjadi Digital Powerhouse menjelang 2030,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden, Penyampaian Projek & Teknologi, Ir. Mohd. Yusri Mohamed Yusof menyatakan, MoU ini menandakan satu pencapaian penting dalam kerjasama antara Petronas dan TM, yang kini diperkuatkan lagi dengan penglibatan Gentari untuk impak yang lebih besar. 

“MoU ini akan mendorong penciptaan aplikasi bernilai yang memanfaatkan kuasa teknologi termasuk teknologi bersih, yang boleh dijadikan penanda aras untuk pelaksanaan berskala besar dalam pelbagai industri. Dengan berpegang kepada komitmen Petronas terhadap penciptaan nilai bermakna dan kesan sosial yang positif, kami teruja dengan transformasi yang bakal berlaku.

“Kami berhasrat untuk sama-sama membentuk ekosistem digital yang berkembang pesat dan mampan,” katanya. 

Kerjasama antara Gentari dan TM turut meneroka integrasi penyelesaian tenaga bersih melalui tenaga solar dan pengecasan EV di kemudahan-kemudahan TM. 

Acara pertukaran MoU telah diadakan di antara Naib Presiden, Perniagaan Perusahaan, TM One, Megawati Norhashim, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), PDSB, Ts. Shaharuddin Hamid Mustapha, Timbalan CEO dan Ketua Pegawai Mobiliti Hijau, Gentari, Shah Yang Razalli. 

Pertukaran ini disaksikan oleh Naib Presiden Eksekutif bagi TM One mewakili TM, Shazurawati Abd Karim manakala, Naib Presiden, Penyampaian Projek & Teknologi, Ir. Mohd. Yusri Mohamed Yusof serta Naib Presiden Kumpulan Teknologi & Pengkomersialan mewakili Petronas dan Gentari, Izwan Ismail.-UTUSAN