S P Setia jual tanah RM156.8 juta kepada Mah Sing

Perniagaan

PETALING JAYA: S P Setia Bhd. (S P Setia) menandatangani perjanjian jual beli bersyarat (SPA) dengan Mah Sing Group Bhd., untuk melupuskan tanah pegangan bebas komersial seluas 2.42 hektar di Taman Pelangi, Mukim Plentong, Johor Bahru dengan harga tunai RM156.8 juta.

Menurut kenyataannya, penjualan yang dilakukan melalui proses tender kompetitif dilaksanakan melalui anak syarikat milik penuh tidak langsung S P Setia, Pelangi Sdn. Bhd., dengan Dsara Sentral Sdn. Bhd. (DSSB), anak syarikat milik penuh, Mah Sing Group.

“Pelupusan yang dicadangkan ini adalah sebahagian daripada usaha Setia untuk membangunkan struktur aset ringan dan mencapai kecekapan modal sambil mengoptimumkan dan menyusun semula bank tanahnya.

“Langkah ini dijangka memberi sumbangan positif kepada keuntungan Setia, di mana hasilnya akan digunakan untuk pembayaran pinjaman, modal kerja, dan mempercepat pelaburan ke dalam projek strategik,” katanya. 

Jelasnya, S P Setia masih mempunyai baki bank tanah yang belum dimajukan seluas 454.79 hektar di Wilayah Selatan, yang dirancang untuk pembangunan dalam tempoh 10 tahun akan datang. 

Kumpulan ini menegaskan bahawa fokus utamanya adalah membangunkan bank tanah di Wilayah Selatan menjadi kawasan perindustrian yang akan merangkumi taman eko-industri dan pembangunan bandar.-UTUSAN