Jojo ‘lupakan’ Sukan SEA Thailand 2025

Sukan

PETALING JAYA: Bintang muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar, memilih untuk tidak menyertai Sukan SEA 2025 di Thailand bagi memberi laluan kepada atlet muda negara.

Beliau yang mesra disapa ‘Jojo’ itu, berkata keputusan tersebut diambil kerana beliau mahu memberi fokus kepada kejohanan bertaraf dunia, ONE Championship, yang dianggap sebagai platform terbaik untuk kerjayanya.

Menurut petarung berusia 18 tahun itu, Sukan SEA hanya sekadar medan pencapaian kecil dalam kariernya, manakala ONE Championship berada pada tahap tertinggi dalam arena muay thai.

“Saya percaya atlet muda negara mempunyai potensi besar untuk membuktikan kemampuan mereka di temasya Sukan SEA,” kata Jojo dalam sidang media secara dalam talian, hari ini.

Jojo kini berada di Thailand menjalani latihan intensif bagi persiapan menghadapi Johan Estupinan dari Colombia pada kejohanan ONE 170 di Bangkok pada 24 Januari ini.

Kejayaan knockout (KO) Jojo menewaskan Josue Cruz pada ONE 168 di Denver, Colorado, September lalu, memberi keyakinan tinggi untuk terus melakar kemenangan.

Kemenangan itu turut melayakkan Jojo menerima bonus prestasi bernilai AS$50,000 (RM223,199) dan merekodkan kemenangan keenamnya di ONE Championship. – UTUSAN