Santan, Soft Space tingkat kecekapan runcit dalam penerbangan

Perniagaan

PETALING JAYA:  Santan, anak syarikat katering serta makanan dan minuman dalam penerbangan milik Capital A, dengan kerjasama Soft Space Sdn. Bhd. (Soft Space), peneraju global dalam teknologi kewangan sebagai perkhidmatan (FaaS) menaik taraf penyelesaian peruncitan penerbangannya, Fasspos. 

Ketua Pegawai Eksekutif Santan, Catherine Goh berkata, Santan sentiasa berusaha mempertingkatkan pengalaman dalam penerbangan dan teknologi adalah kunci kepada perkhidmatan yang benar-benar lancar. 

“Dengan mengintegrasikan penyelesaian inovatif seperti Fasspos, kami bukan hanya mempertingkatkan perjalanan tetamu, tetapi juga memperkasakan kru kabin kami untuk bekerja dengan lebih cekap. 

“Ini memastikan penghantaran hidangan lazat Santan berjalan lancar, menjadikan setiap penerbangan sebagai pengalaman yang sukar dilupakan buat penumpang kami,” katanya dalam kenyataan. 

Sejak 2020, Santan telah menerajui penerapan penyelesaian teknologi untuk memperbaiki operasi dalam penerbangan dan merupakan syarikat pertama yang memperkenalkan teknologi SoftPOS bagi pembayaran tanpa sentuh dalam penerbangan AirAsia. 

Katanya, sistem Fasspos memperkasakan kru kabin AirAsia dengan penyelesaian yang lancar dan serba lengkap untuk menjejaki inventori, membuat pesanan dari tempat duduk penumpang dan memproses pembayaran.

“Bagi memantapkan lagi asas tersebut, naik taraf terbaharu ini memperkenalkan tablet ET45 gred perusahaan Zebra Technologies bagi meningkatkan keupayaan Fasspos. 

“Ia menampilkan paparan yang lebih besar, mudah dinavigasi dan teknologi Komunikasi Medan Dekat (NFC) yang canggih, sekali gus mengurangkan masa transaksi sehingga lebih 50 peratus.

“Ciri-ciri ini membolehkan kru kabin memberi tumpuan kepada perkhidmatan pelanggan yang cemerlang, bagi memastikan penumpang dapat menikmati hidangan dan minuman istimewa Santan dengan lancar,” ujarnya.

Tambahnya, pengenalan tablet ET45 juga selaras dengan visi Santan untuk menjadi ekosistem bekalan penerbangan terkemuka di ASEAN.-UTUSAN